BERITA KCS REDHA

Apa orang kata fasal KCS...apa pula kita kata fasal KCS...macam-macam orang kata...



Sunday, October 22, 2023

Perjalanan Ku Sebagai KCS : Bahagian 3 - Melapor diri pertama kali sebagai Pegawai KCS


Catatan: Mohd Asri Redha 

Salah satu modiul dalam kursus SPA ini ialah
ditempatkan di Pusat Latihan Polis selama
seminggu.. dari kiri sdr Rashid , Dato Mohmad Che Nai, 
saya sdr Zabudin Had
Assalaamualaikum WRT, Selamat Petang... Adakah saudara masih terus membaca catatan saya ini... Aah .. kalau sudah sampai ke sini. maksudnya sudah tentu saudara masih terus membaca .... jadi  biar saya terus menggodam punat-punat keyboard ini agar ia menjadi ayat yang difahami;;

Setelah selesai pemeriksaan perubatan yang agak terkejut juga seketika, akhirnya berjaya juga mendapat kelulusan dari pegawai perubatan yang bertugas.. Maka pada tanggal 13 Mei 1985, saya melapor diri di pejabat Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Kedah.. berjumpa dengan Tuan Setiausaha SPA Kedah .. hanya serah surat penerimaan  tawaran dan dokumen-dokumen yang diperlukan..  Saya ingatkan ada ramai lagi yang akan melapor diri pada hari tersebut, rupanya hanya saya seorang sahaja yang melapor diri.. Hairan juga saya, adakah saya seorang sahaja yang diambil bertugas. Apa saya faham sebelum ini , pengambilan anggota jawatan ini ramai.  Saya tak berani tanya kenapa hanya  saya seorang sahaja yang melapor diri..   

Saya seterusnya diarah terus ke Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kedah yang terletak tidak jauh dari bangunan Sultan Abdul Halim .. hanya melintasi sungai sahaja. Orang pertama yang saya jumpa ialah boss besar PTG ketika itu iaitu Ybhg. Dato' Saad Endut..      Kebetulan hari itu Dato' PTG ada di ofis dan dia tidak ada apa-apa urusan luar, hanya duduk kat opis sahaja. Memang ketar sangat nak berjumpa orang besar ni.. Dato' pula tu.. Saya hanyalah  orang kampong, mana pernah jumpa orang-orang besar seperti ini..

Saya dijemput masuk ke bilik Dato PTG.. dan dari situlah saya didedahkan secara asas, apa tu KCS .. Seingat saya dekat 2 jam juga saya duduk dalam bilik Dato' PTG depan meja besarnya.. sambil ia buat kerja-kerja dia  dan sekali sekali staf masuk keluar untuk urusan tandatangan surat dan lain-lain.. sambil ia bersembang-sembang dengan saya macam-macam cerita dan macam-macam nasihat diberikan. nampak macam ok  saja..  dia layan saya. Saya tidak tahu siapa sebenarnya Dato Saad ini, dan karektarnya macam mana.. Lepas daripada tu baru saya tahu, Dato' Saad ni serious orangnya.. Nak jumpa dia kena prepare betul-betul , kalau tidak susah nanti...  Itulah KCS yang kedua saya jumpa dan mula mengenali selain Setiausaha SPA. Tapi waktu saya jumpa permulaan tu.. ok saja dan sangat  membantu... kalau saya tahu karektor awal Dato' Saad, lagi 'tension' saya'.. Boss2 dulu bukan macam sekarang.. nampak kehebatan mereka tu dan berprotokol .. bukan boleh buat main-main..   

Setaerusnya saya diminta berjumpa  dengan Timbalan PTG yang ketika itu Ybhg Tuan Haji Mat Rejab ( waktu itu belum dapat Dato' lagi) . Terkejut juga waktu pertama kali jumpa dengan Timbalan PTG.. Ingatkan beliau ada hubungan saudara dengan Ibrahim Libya kerana wajahnya macam seiras sahaja.. Ketika itu belum  reda lagi isu Memali di Baling.  Banyak juga ilmu saya dapat dari Tn Hj Mat Rejab ni.. nampak macam serious saja  orangnya, tapi friendly orangnya... Tugasan pertama diberi pada saya ialah pergi ke Pejabat Tanah Kota Setar dan belajar disitu dan beri laporan setiap hari apa yang dipelajari sehingga tamat latihan. .. 

Petang tu turunlah saya ke tingkat bawah Bangunan Wan Mat Saman, kerana Pejabat Tanah Kota Setar waktu tu terletak dibawah Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kedah.  Sekarang ini pejabat itu telah jadi Pejabat Jabatan Agama Islam Negeri Kedah.

Di Pejabat Tanah Kota Setar , baru saya berjumpa dengan 2 orang lagi sahabat saya yang juga kadet KCS, mereka masuk lebih awal beberapa minggu. Sebenarnya ada lagi 5 orang kadet KCS yang masuk lebih awal lagi, tapi mereka sudah buat latihan ditempat lain lebih awal lagi.. Jadi jumlah kadet KCS yang masuk pada tahun tersebut ialah 9 orang.  Saya sebenarnya hanyalah calun simpanan sahaja.. secara kebetulan ada calun yang berjaya telah menolak tawaran, kerana menerima tawaran kerja lain;. Jadi itulah rezeki namanya..  Sebab itulah saya terlewat masuk berbanding dengan rakan-rakan lain. 2 orang sahabat yang sudah ada buat latihan di PTKS ialah saudara Mohd Yusha dan Abdul Rahman Saad.

5 orang sahabat yang seangkatan yang masuk lebih awal ialah saudara Abdul Rashid Othman, Dato' Mohamad  Che Nai,  Dato' Nordin Yahya,  Dato' Md Fisol Mat Noh, dan Zabudin Hat.  Jadi ada  3 peringkat kemasukan batch saya ini.. Saya yang terakhir masuk seorang diri.. Kiranya saya pegawai KCS paling bongsu waktu itu dari keseluruhan 120 orang KCS. Sebenarnya Tuan Zabudin Hat saya kenal lebih awal lagi semasa kat Universiti Kebangsaan Malaysia lagi.. Dia juga buat ekonomi seperti saya juga dan duduk satu komsis dengan saya iaitu Komsis F.. tapi dia orang senang sikit, sebab dah pakai kereta kat UKM, saya masih pakai motosikal Yamaha biasa sahaja. Seorang lagi  KCS yang saya kenal rapat ialah Dato Bukhari.. Sebab beliau duduk depan bilik saya di Komsis F, UKM. Lagi saya ingat, beliau pinjam typewriter saya untuk buat thesis tahun akhir beliau.. Jadi hasil kerja thesis beliau tu ada juga la sumbangan saya tu.😁

Maka bermulalah fasa latihan saya di Pejabat Tanah Kota Setar, sebelum diletakkan dimana-mana jabatan/jawatan yang akan ditentukan nanti oleh Bahagian Perkhidmatan Pejabat SUK.. Saya bersyukur kerana pada peringkat awal ini saya didedahkan dengan pengurusan tanah.  Memang pengetahuan saya mengenai urusan tanah ini kira macam zero langsung..  

Secara kebetulan pada waktu tersebut pejabat tanah dalam proses pertukaran surat hakmilik tanah kepada sistem pengurusan tanah berkomputer. Ini bermakna semua maklumat geran-geran atau surathakmilik tanah secara fizikal akan dipindahmasuk dalam sistem komputer. Program  besar-besaran ini dilakukan diseluruh Pejabat Tanah di negeri Kedah.  Walaupun dalam latihan , saya juga dikehendaki terlibat sama untuk mengutip segala maklumat setiap satu surat hakmilik dan direkod dalam borang komputer, sebelum disahkan dan dimasukkan kedalam SPTB  oleh pegawai lain.  Di Pejabat Tanah Kota Setar sahaja ada berpuluh ribu hakmilik yang perlu dikutip..  Dari situlah saya mula mengenali jenis-jenis surat hakmilik, pengiraan bahagian tanah, jenis-jenis kegunaan tanah, syarat kegunaan tanah, pengiraan cukai, pengiraan keluasan tanah, dan segala macam berkaitan dengan urusan tanah. Banyak juga saya isikan maklumat geran-geran dalam borang komputer yang disediakan. Saya difahamkan setiap borang komputer yang lengkap diisi akan dibayar saguhati.. kalau tidak silap saya RM0.50 setiap satu hakmilik/satu borang komputer.. tapi sampai  saya keluar dari  Pejabat Tanah Kota Setar, saya tidak dapat apa pun.. Entah dapat kat sapa saya pun tidak tahu..

Di Pejabat Tanah Kota Setar , saya mula berkenalan dengan senior-senior KCS yang bertugas di situ iaitu Dato' Rozaina dan Tuan Mohamad Lebai Karim yang masa tu kedua-duanya adalah Penolong Pemungut Hasil Tanah.. Tuan Mohamad Lebai Karim lebih senior.. Pemungut Hasil Tanah waktu itu ialah Tn Haji Shariff Abu Samah.. tapi rasanya saya amat jarang berjumpa dengannya.. bukan senang nak jumpa boss2 waktu tu.. Takut pun ada . Jadi kepada Dato' Rozaina sahaja yang selalu saya berjumpa bertanyakan apa-apa hal berkaitan urusan tanah dan menjadi rakan baik saya hingga sekarang.  Tuan Mohamad Lebai Karim ni, saya agak kurang masuk biliknya... kerana saya lihat ada sesuatu yang rasa macam ada  tak kena.. Setelah lama di PTG baru saya tahu yang Tuan Mohamad Lebai Karim menghadapi masalah kesihatan yang sukar dirungkai dengan rawatan biasa. Nampak luaran ok saja, tapi kadang-kadang ia ok, boleh sembang elok dan buat kerja elok, tapi ada ketika tertentu  karektarnya berbeda pula.. Rakan seangkatan rasanya tahu apa yang saya maksudkan.

Waktu ini, saya di PTG.. ada sukan
khusus Pejabat Tanah seluruh negeri
Kedah. iaitu SUKAN PETANDA.
saya dilantik jadi Pengurus Karom..
Sebelah saya bercermin mata tu ialah
Tuan Mohamad Lebai Karim.

Pernah saya bersama rakan KCS lain iaitu Dato' Hashim Ahmad, Dato' Noh Dahaya dan Dato' Nordin Yahya bawa Tn Mohamad Lebai Karim ini berubat secara kampong dan salah seorang pengamal perubatan tradisional   yang pernah kami bawa pi rawat ialah Tuan Haji Mukhtar yang juga seorang pegawai KCS.. Hebat juga KCS .. ada juga yang punya  ilmu-ilmu perubatan tradisional yang diwarisi.. Saya sendiri melihat rawatan yang dibuat oleh Tuan Haji Mukhtar terhadap Tuan Muhamad Lebai Karim.. Memang jenoh juga Tuan Hj Mukhtar nak berubat  memulihkan Tuan Mohamad Lebai Karim ni.. Namun saya rasa ianya gagal memulihkan penyakit yang dihadapi oleh Tuan Mohamad Lebai Karim.. sehingga satu hari yang menyedihkan mendapat berita Tuan Mohamad Lebai Karim dijumpai meninggal dunia  terdampar jatuh dari bangunan Sultan Abdul  Halim.. Sehingga kini saya tidak mendapat maklumat penoh apa yang sebenarnya terjadi pada sahabat senior saya ini ..  bagaimana beliau boleh jatuh dari bangunan tersebut samada ditolak jatuh, terjatuh atau bunuh diri.. Ianya masih menjadi tanda tanya pada saya hingga kini.. Bagaiamanapun semasa hari hari pengebumiannya, saya hadhir sehingga ke kubur.

Di Pejabat Tanah Kota Setar saya belajar bermacam-macam fasal urusan tanah dengan bantuan senior KCS yang ada dan juga dari kakitangan perkeranian dan teknikal yang ada disini. Seingat saya berbulan juga saya berada di Pejabat Tanah Kota Setar.. Setiap hari saya mengadap mereka mengikut unit-unit yang ada untuk dapatkan maklumat yang berkaitan proses kerja unit-unit yang ada selain masa yang sama saya mengisi borang komputer SPTB. Sekali sekala saya keluar mengikuti Pegawai Petempatan  periksa tanah dan sukat tanah..  Taulah juga macam tanah disukat dan macamana menyediakan laporan tanah;

Kursus Sijil Pengurusan Awam

Saya amat bernasib baik apabila pihak SUK telah memilih  4 orang daripada kami untuk mengikuti Kursus Sijil Pengurusan Awam semasa dibuat penempatan awal . Kursus ini mengambil masa 3 bulan dan diadakan di Intan Wilayah Timor , Kemaman Terengganu.  KCS lain yang mengikuti kursus ini ialah Dato' Mohamad Che Nai, Tuan Haji Rashid Othman, dan Zabudin Had. Memang amat berguna sekali kursus ini diadakan diwaktu awal saya sebagai KCS kerana dalam kursus ini saya belajar pelbagai perkara seperti pengurusan kewangan, pengurusan tanah, pengurusan kerajaan tempatan, protokol, undang-undang , bina semangat dan sebagainya.. Sepanjang kursus ini juga kami dilatih selama 10 hari di Maktab Polis Kuala Kubu Baru,  di Pusat Pupuk Semangat  Terengganu,  dan membuat kajian luar di Temerloh Pahang.  Melalui kursus ini juga saya berkenalan dengan ramai kenalan dari Pegawai Tadbir Negeri Kelantan, Pegawai Tadbir Negeri Terengganu, Pegawai Tadbir Negeri Johor dan juga Pegawai Tadbir Awam ... Dua atau tiga tahun sekali ada juga kami berjumpa kembali bila diadakan Sukan Pegawai Tadbir 4 Negeri ( Negeri Tidak Bersekutu) dinegeri-negeri yang diatorkan.

Beberapa bulan selepas balik dari kursus ini, saya mengambil peperiksaan wajib jabatan , dan kebanyakannya soalan-soalan berkaitan telahpun saya belajar dan dapat inputnya dari kursus SPA yang saya baru saja ikuti... Keputusannya saya lulus semua walaupun tidak cemerlang sangat. Hasil dari kelulusan awal ini, saya telah dapat pengesahan jawatan lebih awal.. tidak sampai 2 tahun dalam percubaan.. kedudukan senioriti saya juga  telah berubah.. 

Seingat saya selepas group saya mengikuti kursus ini, tidak ada lagi diatorkan modiul latihan tersebut, kerana difahamkan kurang mendapat sambutan.. tapi saya berpandangan elok kursus seperti ini dilaksanakan semula untuk pegawai-pegawai muda, apatah lagi dalam suasana cara kerja yang semakin mencabar dan canggih dengan dunia teknologi yang semakin berubah. Bila ada ilmu yang mencukupi barulah kerja lebih efisien dan bekerja mengikut prosedur yang betul, bukan pakai hentam ikut lazim sahaja. Kursus ini lebih kurang kursus PTD yang disusun ator untuk mendapat Diploma Pengurusan Awam yang mengambil masa hampir setahun. 

Penempatan Pertama

Inilah tempat kerja saya yang kedua dibangunan
Sultan Abdul Halim setelah  pejabat PTG Bhg
Pengambilan Tanah kena  
pindah dari Bangunan 
Wan Mat Saman.. Kena kongsi sebilik 5 orang.
Beberapa minggu sebelum pergi kursus SPA,  saya telah   terima surat penempatan pertama saya di Pejabat Pengarah Tanah & Galian Negeri Kedah dengan jawatan sebagai Penolong Pengarah Tanah dan Galian (Bahagian Pengambilan Balik Tanah).. Terkejut juga terima surat lantikan ini, kerana setahu saya selalunya orang yang sudah punya pengalaman tanah sahaja ditempatkan di situ, kerana ia melibatkan urusan pengambilan tanah untuk projek-projek fizikal kerajaan dan melibatkan perbicaraan dan pampasan wang  kepada pemilik tanah.. Walau bagaimanapun saya terima cabaran ini, dengan tekad untuk melaksanakan kerja sebaik mungkin sepertimana yang diarahkan.  Saya melapor diri kepada boss baru PTG pada masa itu Ybhg Dato' Ahmad Basri Md Akil..  dan boss unit saya ketika itu ialah Dato' Mohd Noor Hj Rafiee. 

Maka bermulalah kerjaya saya sebagai Pegawai Tadbir Negeri dengan jawatan pertama saya ialah sebagai PPTG Bahagian Pengambilan .  Setahun pertama bertugas sebagai PPTG saya ditempatkan di bangunan Wan Mat Saman .. Bila bangunan dibuat renovation' Bahagian Pengambilan Tanah dipindahkan sementara di tingkat satu Bangunan Sultan Abdul Halim.. Tempat itu sempit sangat dan tidak ada bilik khusus disediakan untuk pegawai-pegawai seperti saya.  Maka duduklah saya disitu, satu bilik dengan 4 orang pegawai lain yang lebih senior.. nasib la.. tak semacam sekarang ni.. setiap pegawai P & P mesti ada bilik khusus .. Seingat saya pernah duduk sebilik dengan Dato Sepiah Isa, Hjh Halijah Ibrahim, dan Dato' Abd Aziz Gani, dan Tn Hj Jaafar. 

Sahabat saya satu batch Dato' Hj Nordin Yahya juga bertugas di Bahagian Pengambilan Balik Tanah bersama saya, tapi dia senior lagi dari saya di bahagian ini.. Dato' Hj Nordin pernah  tinggal serumah dengan saya di Taman Seri Manis, Alor Setar semasa kami masih bujang.  Rumah sewa kami di Taman Seri Manis ini selalu menjadi tempat persinggahan Dato Hashim Ahmad dan Dato Noh Dahaya, bila mereka balik mai ke daratan. Masa itu mereka berdua bekerja di Pulau Langkawi. 

Saya pergi ke ofis hanya menunggang motosikal biasa sahaja .. tak mampu nak beli kereta lagi.. gaji baru RM880.00.. Tolak sewa dan makan minum, tinggal berapa RM sahaja lagi.. Tapi satu hari Dato Hj Ismail Hamid nampak saya naik motosikal kapcai ke opis dan dia tegor  saya , KCS kena pakai kereta.. jangan nampak lekeh sangat. Mau tak mau kena pakai juga lah kereta, itu pun setelah Dato' Ismail Hamid memproses segera permohonan pinjaman kenderaan.. pakai jugalah kereta terpakai jenama Nissan Langley. tak mampu nak beli kereta baru walau harga waktu itu dalam RM 25K ke RM35K sahaja.. Tolak loan kereta , tinggal ngam-ngam sahaja gaji... elaun-elaun tambahan seperti yang dinikmati oleh pegawai KCS sekarang  tidak ada lagi waktu. itu.   hanya harap tuntutan perbatuan sahaja untuk kesinambungan hayat..😇 

Lebih kurang 3  tahun juga saya bertugas mengadakan perbicaraan pengambilan balik tanah untuk pelbagai projek kerajaan.. Antara projek yang saya terlibat secara langsung ialah pengambilan balik tanah untuk  projek Lebohraya Utara Selatan, projek LADA di Langkawi, Projek Taliair  MADA, projek KEDA  dan lain-lain lagi.. Memang mencabar juga mengendalikan perbicaraan tanah yang melibatkan pampasan tanah bernilai ribuan RM hingga jutaan RM.  Saya terpaksa belajar banyak berkenaan penilaian tanah, berkenaan pemilikan tanah, urusniaga tanah, dan sebagainuya.. Kesilapan tidak boleh berlaku,  Kesilapan membuat pembayaran dan pengiraan boleh beri kesan kepada kerjaya saya dan kerajaan negeri atau persekutuan ...  Memang ada berlaku juga beberapa kes kesilapan pengiraan dan penerima pampasan, tapi saya amat bernasib baik kerana kes tersebut dapat diselesaikan dengan segera.. Saya tidak boleh bayangkan apa akan jadi jika orang yang  tidak sepatutnya terima pampasan , menerima bayaran pampasan dan menghilangkan diri...  Sebab itu dalam bahagian ini, ketelitian kena diambil berat dan semakan  berulangkali perlu dibuat sebelum disahkan perkiraan dan pembayaran. Pernah saya terpaksa bergegas ke Pulau Langkawi untuk mendapatkan balik cek bernilai ratusan ribu RM kerana kesilapan orang yang sepatutnya menerima pampasan.. Nasib  baik dapat berjumpa dengan orang itu dan belum ditunaikan cek tersebut .. Kalau tidak nanya saya. 

Saya juga pernah terlibat membicarakan kes pampasan pengambilan tanah yang melibatkan pemilik-pemilik VVIP .. Antaranya ialah YTM Tunku Laksamana yang sekarang ini sudah menjadi DYMM Tunku Sultan Kedah.. Bayangkan ketika itu saya masih junior officer lagi. Protokol pun belum belajar habis lagi... memang ketar sangat-sangat.  Saya pun tidak tahu yang  Tunku akan mai bicara tersebut kerana jabatan jemput nama syarikat pemilik tanah tanah tersebut.. tiba-tiba  Tuanku Laksamana yang datang. Tanah yang saya bicara itu ialah tapak Ibu Pejabat KEDA sekarang. Begitu juga pernah bicara tanah Hakim Mahkamah Tinggi dan orang-orang kenamaan..  Jenoh juga nak letakkan  harga tawaran kerajaan nak bagi pemilik tanah setuju dan tandatangan persetujuan. Ada juga yang marah-marah dan tidak setuju dan hendak bawa kes ke mahkamah.. Apa-apapun,  setuju atau tidak setuju tanah diambil, kerajaan tetap boleh mengambil tanah tersebut, mengikut peruntukan dalam Akta Pengambilan Tanah. Nak minta naikkan lagi harga pampasan boleh saja bawa kes ke Mahkamah Tinggi.

Kalau kes dibawa ke Mahkamah Tinggi, saya terpaksalah hadhir ke mahkamah untuk membantu menyediakan maklumat kepada YB Penasihat Undang-Undang Negeri yang melawan bagi pihak kerajaan  dengan peguam Tuan Tanah..  Seingat saya kes-kes yang saya hadiri kebanyakannya harga pampasan tanah dinaikkan oleh Hakim Mahkamah   Tinggi. Pernah berjam-jam berada di bilik Penasihat Undang-Undang Negeri , membantu menyediakan maklumat untuk YB LA membuat Afidavit Balas... 

Sekarang ini kes-kes pengambilan balik tanah telah diuruskan di peringkat Pejabat Tanah Daerah.. Perubahan ini saya tidak pasti sebab apa, kerana pada saya kes-kes pengambilan balik tanah ini perlu diuruskan oleh Pegawai yang lebih senior dan berpengetahuan luas kerana ia melibatkan persoalan undang-undang dan juga pembayaran kewangan yang besar. Di peringkat daerah ini saya lihat hanya pegawai-pegawai baru sahaja yang mengendalikan kes-kes perbicaraan.. dan mereka juga kekurangan ilmu dan sumber rujukan untuk mengendalikan kes-kes yang agak rumit dan besar impaknya.. Saya bernasib baik dapat belajar banyak pengalaman dari senior-senior yang terlibat dalam kes-kes pengambilan tanah ini, kerana kami berada dalam satu unit.. 

Oklah.. , rasanya setakat ini sahaja dulu catatan saya semasa bertugas di Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kedah.. kita sambung lagi bila dapat idea baru nanti...  


catatan bahagian 2 sebelum ini

https://beritakcs.blogspot.com/2023/09/perjalanan-ku-sebagai-pegawai-kcs.html

https://beritakcs.blogspot.com/2023/08/perjalanan-ku-sebagai-pegawai-kcs.html







No comments:

Post a Comment