BERITA KCS REDHA

Apa orang kata fasal KCS...apa pula kita kata fasal KCS...macam-macam orang kata...



Tuesday, October 31, 2023

Perjalanan ku sebagai Pegawai KCS : Bahagian 4 : Kemurungan

  BAHAGIAN 4

Pejabat Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Kedah

 Selama lebih kurang 3 tahun  berkhidmat di Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kedah,  mengadakan perbicaraan pengambilan balik diseluruh daerah dengan rutin kerja lebih kurang sama sahaja setiap hari iaitu mengator perbicaraan dengan tuan tanah   seperti menetapkan tarikh siasatan, mengadakan siasatan, menentukan harga pampasan, menyediakan dokumen pembayaran dan segala macam berkaitan seperti mana keperluan Akta Pengambilan Balik Tanah dan Prosedur Kewangan… dan sekali sekala kena pergi ke mahkamah untuk kes yang merujuk ke mahkamah.. 

Satu lagi  tugas setiap bulan saya perlu pergi mengadap Pendaftar Mahkamah Tinggi untuk menghantar Affidavit Memasukkan Wang Deposit ke Mahkamah untuk kes-kes status pemilik yang belum selesai secara sah. Semuanya berjalan lancar dan elok sahaja. Sewaktu di sini saya telah mendirikan rumahtangga saya dengan isteri yang ada sekarang nilah.. Namanya Norasimah .. satu daerah dengan saya juga..

Akhirnya saya ditukarkan ke Unit Perancang Ekonomi Negeri  sebagai Penolong Pengarah Unit Perancang EKonomi. Saya ingat lagi boss saya waktu itu  ialah Dato’ Md Khir Man dan Timbalan waktu itu ialah Dato’ Mohd Puat Ali. Saya diberi tanggungjawab bawah Sektor Industri… selepas itu saya ditukarkan kepada Sektor Gunatenaga. Di Jabatan ini empunya diri sudah buat hal.. Saya lah  tu… Saya hanya boleh bertahan setakat 3 bulan sahaja di situ… Entah kenapa tiba-tiba sahaja saya diserang kemurungan yang agak serious..  Mulanya saya tidak tahu apa puncanya.. tapi akhirnya saya tahu yang ia timbul dari tekanan ditempat kerja saya….. nanti saya cerita apa puncanya…

Hari pertama saya melapor diri saya telah diberikan tugasan yang telah ditetapkan. Saya telah diberikan senarai 25 kaji selidik atau kajian kes yang perlu saya tangani dan selesaikan dalam tempoh-tempoh tertentu. Bila saya studi balik dan tengok  senarai tugasan yang diberi itu, saya mula berfikir yang bukan-bukan.. keyakinan diri sudah mula ‘down’.. Saya sudah mula rasa panik dan rasa mengelabah yang bukan-bukan… mampukah saya melaksanakan tanggungjawab ini..  yang saya nampak waktu tu saya tidak ada kemampuan untuk tugasan itu.. rakan2 Penolong Pengarah lain ada tugas masing dan sibuk masing-masingnya.. Sahabat satu batch saya sdra Abdul Rahman Saad sudah lebih lama bertugas di UPENK .. saya tengok dia ok saja.. buat kerjanya..

Tidak sempat nak mulakan tugasan awal yang diberi itu, saya dipanggil oleh boss saya waktu itu untuk pergi  buat kajian berkenaan KEDA pula.. kerana tempoh hayat KEDA akan berakhir beberapa tahun lagi... Kajian ini untuk melihat samada KEDA ini benar-benar memberikan kebaikan kepada rakyat Kedah diluar kawasan MADA dan perlukah ia disambung lagi.. Ini bukan cerita kecik, kena buat kajian menyeluruh mengikut sektor.. saya lihat dari segi gunatenaga.. rakan-rakan lain adalah tugasan masing-masing..

Saya akui sebenarnya saya tidak pernah buat kerja lapangan dan kajian-kajian seperti ini.. Di Universiti saya  tidak pernah buat thesis. Hanya ambil periksa dan buat assignment biasa saja. Saya ambil Ijazah Sarjana Muda Ekonomi (AM) dari UKM tetapi tidak mendapat Kepujian. Tempoh pengajian ialah 3 tahun sahaja. Kalau hendak mendapat kepujian kena tambah setahun lagi pengajian dan ketika ini baru kena buat Thesis yang ditetapkan. Sebab itu saya kata saya tidak pernah buat kajian lapangan ini.. Benda ini bagi saya baru.. dan sebab itu saya tidak tahu nak mula dimana.. 25 tajuk kajian sudah ada depan mata menanti digerakkan segera dan 'time frame'nya

Kerana terlalu memikirkan kajian-kajian yang kena dibuat itu dan perlu disiapkan  dalam tempoh-tempoh tertentu itu, saya mula rasa sesuatu yang tidak kena pada diri saya.. Pada masa itu tidak sama seperti sekarang ini.. dulu tidak ada perunding yang boleh buat kajian… Pegawai kena buat sendiri, kena atur pembanci sendiri, kena buat borang bancian sendiri, kena buat analisa sendiri dan juga akhirnya apakah penemuan yang diperolehi dan perakuan-perakuan yang kena dibuat.. semuanya ini pegawai tersebut lah yang bertanggungjawah.. Selepas ia kena bentang pula kepada pengurusan tertinggi.. Hasil kajian ini akhirnya akan diguna pakai oleh kerajaan negeri dalam merencanakan perancangan ekonomi, pembangunan dan sosial kearah yang lebih baik. Memang banyak kerja kena buat.. Berbanding sekarang ini kebanyakannya menjadi urusetia sahaja.. Maklumat-maklumat pula mudah diperolehi dari laman-laman web .  Sekarang Kajian-kajian yang diperlukan kita lantik sahaja  perunding-perunding yang spesifik bidang profesional mereka.

 Dalam tempoh 3 bulan ini memang amat memeritkan dan memberi kesan kepada kesihatan sehingga saya sudah tidak tertahan lagi dan pernah pergi berjumpa doktor menceritakan masalah saya ini,  dan macam biasa lah .. Doktor akan beri ubat penenang .. Bila makan ok sat, bila habis kesan ubat dia mai balik fikiran-fikiran yang tidak mahu fikir, dia mai juga dalam kepala otak kita. Saya menjadi murung yang teramat sangat.. jantung berdebar-debar setiap hari, selera makan sudah tidak ada, badan sentiasa kesejukan dan akan menggeletar bila  terkena air , tidor tidak nyenyak dan macam-macam lagi perkara pelik berlaku pada diri saya … Semuanya terletak pada otak atau fikiran kita yang memikirkan yang bukan-bukan dan memberi kesan kepada diri saya. Fikiran saya macam tidak boleh kawal lagi.

Nak jumpa boss mengadu, takut sekali… Boss dulu bukan macam sekarang.. Baik sangat-sangat.. Boss dulu-dulu nampak sangat dari segi kehebatan mereka, ada protokol tersendiri, bukan  boleh dok terpa masuk bagitu sahaja.. Nak masuk jumpa boss kena prepare cukup-cukup.. kalau tidak nanya saja kena marah.. Ada setengah sahabat dalam KCS juga , pernah mengalami boss lempar fail begitu sahaja disebabkan tidak menepati kehendak yang sepatutnya. Apatah lagi saya nak masuk cerita kat boss paling tinggi dalam KCS, kata saya tidak mampu nak buat kerja yang diberikan.. KCS mana boleh macam tu kan.. kena boleh buat semua..

Banyak hari juga memikirkan macam mana nak bagi tau kat boss masalah saya ini.. Saya sudah tidak tahan sangat dengan derita kacau fikiran ni.. Pernah terfikir untuk letak jawatan sahaja.. tapi terfikir juga nak kerja apa lepas tu... bukan senang nak dapat kerja waktu ekonomi negara menjunam  terok. Akhirnya saya bertekad untuk memaklumkan juga pada boss paling atas iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah.. Panjang jugalah saya karang surat tu lebih kurang 3 muka surat , cerita semua dari A sampai Z.. Punya tidak tahan sangat murung saya ni, sehingga saya sanggup tulis  tidak dipertimbangkan naik pangkat pun  tidak apa dimasa hadapan .. sampai begitu sekali saya tulis..  Saya tidak tahulah surat itu masih ada disimpan dalam fail peribadi saya di BSM SUK atau dibuang terus oleh YB Dato' Paduka Syed Mansor Barakbah, Setiausaha Kerajaan Negeri pada  waktu itu

Saya  juga  memaklumkan kepada  Timbalan Pengarah UPENK pada waktu itu akan masalah saya. Dia memang tidak boleh buat apa-apa, kena jumpa boss besar juga kalau nak mohon tukar. Dengan Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan Bahagian Perkhidmatan pun saya jumpa juga menceritakan masalah saya ini. Waktu itu Dato' Hj Ismail Hamid .. Dia amat memahami masalah saya tersebut, tapi seperti biasa , kalau KCS  beliau tidak berani pandai-pandai buat keputusan untuk tukar pegawai., tapi dia boleh bantu ceritakan nanti pada YB SUK jika ada dibuat rombakan KCS . Dia suruh saya mengadap SUK juga.... Memang saya tidak pi la jawabnya.. takut sangat-sangat... Cuma berani hantar surat saja  dan tunggu apa nak jadi.

Seminggu setelah hantar surat tersebut saya mendapat panggilan telefon dari PA SUK minta saya mengadap YB SUK dengan segera..   Maka pergilah saya dengan keadaan yang berbelah bahagi.. betulkah apa yang aku buat ni.. Nak jawab apa nanti dengan YB SUK.. jawatan yang saya pegang ni masih lagi dalam status 'sementara'  memang ketar sangat-sangat waktu tu.. Macam-macam bermain difikiran sepanjang saya berjalan kaki ke Pejabat YB SUK. Berasa lemah sangat saya berjalan kaki ke situ.. hanya semangat yang menggagahkan saya terus pergi ke situ. Sepanjang saya bertugas lebih kurang 3 tahun, tidak pernah sekalipun saya menjejak kaki ke bilik YB SUK.. 

Sampai saja terus disuruh masuk ke bilik YB Dato Paduka. Masuklah saya  dengan hanya berbekalkan sedikit semangat yang masih ada.. Rupanya dalam bilik sudah ada Dato' Md Khir Man, Boss UPENK.. Tak taulah apa depa sembangkan  sebelum saya masuk... mesti sembang fasal saya rasanya. Macam-macam depa tanya saya.. dalam terketar-ketar jawablah juga saya apa yang boleh jawab.. selain kena perli dan sebagainya.. terima sahaja la.. air mata pula dah mula berlinang dikelopak mata, cuma tak terbit keluar saja lagi .. saya merayu sungguh-sungguh waktu tu pada YB Dato Paduka untuk pertimbangkan pertukaran saya dari UPENK.. Saya dah tak malu dah.. Lama juga berada dalam bilik YB SUK..  Satu yang saya amat respect YB SUK ialah beliau bercakap lembut sahaja.. Tak adalah nampak marah atau tinggikan suaranya.. sepanjang perbualan dalam bilik tersebut, beliau banyak memberi nasihat pada saya macam-macam.. Tak nampaklah sangat cengei seperti yang saya jangkakan awalnya seperti yang saya dapat maklumat sebelum ini berkenaan YB Dato Paduka ni...  

Saya keluar dari bilik SUK dengan rasa lega sedikit, kerana segala apa yang  terbuku dihati telah saya luahkan kepada YB SUK..  Hanya mengharapkan selepas ini ada sesuatu yang boleh menamatkan rasa kemurungan saya ini.  Namun saya tak berapa yakin kesudahan begitu kerana tengok macam cara sembang YB SUK , dia nak suruh duduk juga di UPENK... hari demi hari saya menunggu apa kesudahannya hasil dari pertemuan dengan YB SUK... Dapat pula berita YB SUK pergi bercuti dan seterusnya mengerjakan umrah di Mekah.. Nampaknya lambat lagi lah  tau apa akan jadi pada saya.. Kemurungan saya tetap tidak berubah.. 

Sehari selepas YB SUK pergi ke luar negara, keluar surat pertukaran KCS, dan didalamnya terselit juga nama saya.. Alhamdulillah.. seronok tak sangka... Saya ditukar ke Pejabat Tanah Kubang Pasu sebagai Penolong Pentadbir Daerah  2, menggantikan tempat saudara Zaini ( aruah) .. Maka bermula pada 016.07.1988 maka saya mula berkhidmat di Kubang Pasu. Syukur sangat-sangat  kerana saya dapat bertukar dalam pentadbiran tanah juga ..  Saya amat berterima kasih kepada YB SUK yang amat prihatin akan masalah saya tersebut, kerana dalam tempoh tidak sampai sebulan, saya diambil kira dalam pertukaran pegawai KCS..  Beliau amat mengambil berat akan masalah anak-anak buahnya.. tanpa menekan pegawai bawahannya untuk melaksanakan juga sesuatu yang ada masalah kepada pegawainya seperti saya ini.  Saya juga sedar itu juga adalah kelemahan saya juga  diawal-awal  perkhidmatan saya.  Pada waktu pentadbiran YB Dato Paduka Hj Syed Mansor jugalah banyak kelulusan kerajaan negeri diperolehi untuk kebajikan Pegawai Tadbir Negeri yang dinikmati oleh Pegawai KCS sehingga kini.

Bila YB SUK balik dari bercuti saya mengambil peluang berjumpa dengan beliau mengucapkan terima kasih yang amat sangat atas ambil berat YB Dato Paduka..dan beliau menasihatkan saya supaya bekerja dengan baik, rajin dan jujur.. Selepas daripada itu dimana saja saya berjumpa dengan YB Dato Syed Mansor Barakbah, beliau ingat nama saya dan boleh berbual-bual dengan beliau tanpa rasa kekok.. Ada satu ketika selepas bertugas di Kubang Pasu beliau ada datang menjengok saya di opis bertanya khabar.. ok tak lagi.. memang ok sangat-sangat.. segala rasa murung yang saya hadapi sebelum ini, hilang terus. Kesihatan  saya kembali ok dengan sendirinya. Sejak itu saya bertekad akan bekerja dengan sebaik mungkin dan membuktikan saya mampu buat kerja seperti mana yang dipertanggungjawabkan..  

Pengalaman saya mengalami kemurungan ini ada saya coretkan dalam blog seperti link dibawah ini..

https://semangatjati.blogspot.com/2010/12/nikmat-kesihatan.html

 Sebenarnya sepanjang saya bertugas sehingga pencen, 3 kali saya mengalami stress yang agak hebat juga iaitu semasa di UPENK, di Kubang Pasu dan di Majlis Perbandaran Sungai Petani.. Nanti saya akan ceritakan lagi kenapa stress berlaku disitu. tapi tidaklah seterok yang berlaku di UPENK

 

 asriredha teratak kasih alor setar

No comments:

Post a Comment