BERITA KCS REDHA

Apa orang kata fasal KCS...apa pula kita kata fasal KCS...macam-macam orang kata...



Wednesday, August 4, 2010

EXCO KEDAH TIDAK HARUS PERLEKEH KCS

Petikan dari Rencana di Utusan Malaysia 04 Ogos 2010

Oleh SOBRI SUDIN

APABILA timbul rungutan segelintir exco pimpinan kerajaan pakatan pembangkang di Kedah berhubung kuasa Perkhidmatan Tadbir Negeri atau singkatan bahasa Inggeris, KCS melebihi kuasa mereka, maka timbul pelbagai persepsi menarik untuk dianalisis.

Kedah dari sudut sejarahnya mempunyai KCS tersendiri dengan pemodenannya telah dimulakan sejak zaman pemerintahan Sultan Abdul Hamid Halim Shah (1882-1907). Undang-undang pentadbiran tanah, sistem pentadbiran daerah dan institusi seperti Penghulu dan Ketua Daerah juga telah lama berlangsung seawal kurun ke-19.

Modenisasi yang berlaku itu tanpa perlu campur tangan British. Atas sifatnya sebagai Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu, struktur pentadbiran tadbir negeri yang lebih moden dan tersusun dikenal pasti dimulakan penubuhannya mulai 23 Julai 1905 menerusi penubuhan Majlis Negeri Kedah.

Pengwujudan Majlis Negeri yang berperanan untuk membantu Sultan mentadbir, selain memaktubkan jawatan Pegawai Daerah dengan geografi pentadbiran negeri dibahagikan kepada tujuh daerah meliputi Changlon, Yan, Kuala Muda, Kulim, Krian, Langkawi dan Kota Setar.

Minit Mesyuarat Majlis Negeri Kedah bertarikh 2 Disember 1909 pula jelas memaktubkan suatu peruntukan undang-undang yang dikenali Peraturan Pekerjaan Pegawai-Pegawai Daerah.

Peraturan ini jelas menggariskan bidang tugas dan fungsi Pegawai Daerah secara terperinci termasuk skim perjawatan dan gaji. Ironinya, kesiapsiagaan KCS telah diupayakan melalui inisiatif tempatan tanpa perlu kuasa atau campur tangan luar khususnya British ketika itu.

Keduanya, KCS Negeri Kedah mempunyai satu sejarah dan proses pengalaman yang cukup panjang. Natijahnya integriti, wibawa, kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan selama ini tidak boleh diragukan.

Namun begitu, sejak pakatan pembangkang mengambilalih pemerintahan kerajaan Kedah, sudah kerap kali isu melibatkan kerangka hubungan kerajaan baru dan KCS ini dibangkitkan.

Pada tahap awal dibangkitkan isu, kononnya ramai pegawai KCS masih berwaladkan (berketuakan) pemimpin dari UMNO sungguhpun kerajaan negeri sudah bertukar ganti. Jika istilah masih berketuakan pemimpin UMNO membawa implikasi bahawa KCS tidak boleh berhubung, berkawan, berinteraksi ataupun mengikuti majlis rasmi yang dihadiri pemimpin UMNO, tampak jelas bahawa pimpinan pakatan pembangkang kurang profesional dalam hal ini.

Ia jelas menampakkan sikap prasangka menebal pimpinan pakatan pembangkang yang jelas bersifat kebudak-budakan. Demikian juga halnya tuduhan liar kononnya masih ramai pegawai KCS melakukan kerja-kerja sabotaj untuk melemahkan kerajaan negeri pimpinan Pas.

Ini juga adalah satu manifestasi tuduhan yang jelas gagal dibuktikan kebenarannya. Penulis dan rakyat Kedah berasa khuatir jika elemen sabotaj ini dikaitkan dengan keengganan pegawai KCS meluluskan permohonan yang di dalamnya terkandung kepentingan individu tertentu yang memegang jawatan dalam tampuk kerajaan negeri.

Jika demikian sifatnya, maka KCS wajar dipuji kerana terus mempertahankan nilai profesionalisme, menjulang undang-undang, mengamalkan integriti yang tinggi dan kekal dengan sikap berkecuali mereka.

Jika mahu dibangkitkan elemen sabotaj terhadap kerajaan negeri, dapat diteliti bahawa sepanjang lebih lima dekad BN memerintah Kedah, begitu banyak sabotaj dilakukan penjawat awam yang condong kiblat mereka kepada parti pembangkang.

Namun golongan seperti ini tetap mendapat kenaikan pangkat, malah perlu dibuat satu kajian empirikal bagi mengenal pasti kiblat politik golongan yang berkedudukan tinggi dalam jawatan kerajaan baik di peringkat pusat mahupun negeri.

Adakah lebih ramai penyokong Pas, PKR, DAP berbanding dengan penyokong atau ahli UMNO?

Namun begitu, ideologi dan fahaman serta sokongan politik tidak pula pernah dijadikan alasan utama oleh kerajaan BN dalam membuka ruang lantikan, kenaikan pangkat selain pelbagai keistimewaan yang terus diraih oleh golongan ini.

Ia berkait rapat dengan dasar kepercayaan pihak kerajaan bahawa meskipun penjawat awam condong kiblat mereka kepada parti tertentu, namun dalam melaksanakan tugas dan implementasi dasar, golongan tersebut tetap kekal dengan sifat berkecuali dan menjalankan tanggungjawab dengan cukup amanah.

Persepsi dan tanggapan inilah yang sepatutnya dimiliki oleh exco Kerajaan Negeri Kedah dalam kerangka hubungan mereka dengan KCS.

Amatlah malang jika KCS dimusuhi. Pemimpin politik dan penjawat awam sepatutnya bergerak seiring, saling melengkapi bukannya saling menyaingi. Kesepaduan inilah yang membolehkan apa jua dasar yang dirangka dilaksana sehingga impaknya mampu dirasai rakyat di bawah.

Hubungan erat dan murni akan membolehkan KCS mudah melaksanakan dasar-dasar yang digubal. Justeru, dalam konteks peranan exco sebagai penggubal dasar, mereka seharusnya faham bidang kuasa, aturan, proses dan prosedur yang perlu dilalui. Cadangan atau kertas kerja berdasarkan elemen 'syok sendiri' atau sekadar menguntungkan ahli parti wajar diketepikan.

KCS adalah pemimpin pendapat, mempunyai pengaruh yang besar dalam kalangan rakyat. Mereka juga adalah front liner yang sering berurusan menyelesaikan masalah dan keperluan masyarakat setempat.

Lantas sebagai pelaksana dasar selain merupakan 'hulu balang istana' dengan mempunyai track record yang cukup gah, maka jika KCS terus diperlekehkan dan dilontarkan dengan pelbagai tuduhan oleh segelintir exco pakatan pembangkang, ia bermakna dua tafsiran boleh dibuat.

Pertama sama ada exco sedia ada tidak faham bidang kuasa KCS dan bidang kuasa diri mereka sendiri. Kedua, kemungkinan usaha untuk mempengaruhi KCS dengan kiblat politik pakatan pembangkang gagal dilaksanakan.

Maka natijahnya menimbulkan perasaan tidak puas hati di kalangan segelintir exco terbabit. Jika ini maksudnya maka sekalung tahniah buat KCS kerana berjaya mempertahankan dasar berkecuali.

Selain itu keutuhan, kecekapan khidmat KCS yang telah lama menabur bakti dan mampu mencorakkan dinamisme pentadbiran negeri dengan acuan, gaya dan pendekatan mereka sendiri juga wajar menerima pujian.

Penulis ialah penulis bebas dan pemerhati politik

No comments:

Post a Comment