Bahagian 1: Memohon Kerja
Bagaimana nak memulakan cerita ya.. saya bukan seorang penulis yang baik untuk menulis memoir perjalanan kerjaya saya sebagai pegawai KCS. Namun begitu perasaan membuak-buak untuk menulis itu tetap ada. Saya cuba untuk melupakan dulu seketika akan perasaan itu tapi nampaknya tak berjaya.. Saya nak kena cerita juga pengalaman saya sepanjang saya berkhidmat sebagai Pegawai Tadbir Negeri Kedah atau lebih mudah disebut Pegawai KCS.. Hentam sajalah tulis apa yang terlintas difikiran ni, ayat2 dan bahasapun boleh jadi tunggang langgang . janji orang baca boleh faham.. ok la tu.. Lama perjalanan kerjaya saya dengan KCS ... Sehingga berpencen pada umur 60 tahun saya telah berkhidmat selama lebih 36 tahun .. Lama masa tu.. Saya tahu tidak ramai akan baca catatan memoir saya ini, kerana ianya tidak ada nilai-nilai viral yang boleh menarik minat orang membaca.. Saya sekadar menceritakan pengalaman saya sahaja agar tidak hilang begitu sahaja. Mana tahu mungkin KCS yang muda-muda boleh juga baca kisah-kisah ni sebagai pengetahuan mereka dan juga sebagai panduan jika bersesuaian, kerana ianya juga melibatkan mereka yang bertugas dipejabat-pejabat seperti saya bertugas. Kebetulan pula selepas saya bersara anak saya pula meneruskan legasi saya sebagai pegawai KCS. Jadi nampaknya saya dengan KCS ini tidak boleh terputus lagi. Cumanya mungkin keadaan persekitarannya sudah berlainan kerana sekarang ini suasana kerja lebih moden dan maklumat dihujung jari sahaja. Kemudahan-kemudahanpun sudah amat baik berbanding dahulu.Zaman awal saya bekerja adalah zaman tiada kemudahan internet, tiada 'handphone' dan tiada komputer. Zaman itu masih guna mesin taip. Nak buat surat dan cetak minit mesyuarat pun memang 'renyah' kena melalui berbagai proses.
Sebagai permulaan cerita, saya senaraikan jawatan-jawatan yang pernah saya sandang sepanjang tempoh itu.. Memang banyak dan setiap tempat tersebut mempunyai pengalaman dan cerita-cerita tersendiri yang mungkin nanti saya boleh ceritakan dengan lebih detail... Ini adalah pengalaman yang sukar diperolehi kerana saya menempoh pengalaman yang pelbagai dengan suasana kerja yang tidak sama.. Ada kenangan yang menyeronokkan dan ada kalanya kurang menyeronokkan dan ada ketikanya tidak seronok langsong... Ini antara jawatan-jawatan yang pernah saya sandang dalam tempoh 36 tahun berkhidmat sebagai Pegawai Tadbir Negeri Kedah:
Penolong Pengarah Tanah Dan Galian Negeri Kedah (Bahagian Pengambilan)
Penolong Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Kedah
Penolong Pentadbir Tanah Kubang Pasu II
Penolong Pentadbir Tanah Kubang Pasu I
Penolong Pegawai Daerah Kubang Pasu (Pembangunan)
Setiausaha Majlis Perbandaran Sungai Petani
Penolong Pegawai Daeerah Kota Setar (Pentadbiran)
Ketua Penolong Pegawai Daerah Bandar Baharu (Pembangunan) /Setiausaha MDBB
Ketua Penolong Pegawai Daerah Yan (Pembangunan) / Setiausaha MDY
Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan (Pembangunan ) Daerah Kecil Jerlun
Ketua Penolong Pegawai Daerah Sik (Tanah)
Ketua Penolong Pegawai Daerah Langkawi (Pentadbiran)
Pentadbir Tanah Daerah Kuala Muda
Pentadbir Tanah Daerah Kota Setar
Setiausaha Majlis Bandaraya Kota Setar
Timbalan Pegawai Kewangan Negeri Kedah
Pegawai Daerah Bandar Baharu
Presiden PBT Kulim Hi Tech Park
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA)
Pegawai Daerah Kota Setar
Lebih kurang 20 jawatan yang pernah saya sandang. Saya rasa saya salah seorang KCS yang begitu kerap ditukarkan. Ya.. memang kerap saya ditukarkan..Entah kenapa kerap sangat saya ditukarkan.. ada dua kemungkinan saya rasa .. Satu mungkin orang meluat tak suka atau kerja tak 'perform' atau satu lagi mungkin kita amat diperlukan ditempat-tempat tertentu.. Saya hanya menurut perintah saja.... Kat mana boss tempatkan , saya ikut saja. Cumanya dalam banyak-banyak itu ada salah satunya saya sendiri memohon ditukarkan.. Nanti saya akan ceritakan kenapa.
TEMUDUGA
Rezeki itu Allah SWT yang tentukan. Saya tidak punya apa-apa yang hendak dibanggakan dengan pencapaian diri .. Tidak ada pencapaian akademik yang terbaik. Apatah lagi pengalaman bekerja.. Kalau adapun hanyalah sebagai seorang tenaga pengajar didua buah sekolah swasta iaitu di Kolej Utara Alor Setar dan Sekolah Swasta Langkasuka di Guar Chempedak.. Pengalaman yang saya ada hanya buat kerja bendang. Yang itu saya ada.. tapi orang pakai ka pengalaman tu.
Gambar kenangan semasa mengajar di Kolej Utara Alor Setar.. Yang berdiri di tengah tu ialah Pn Musalmah isteri Tn Hj Saiful Ex DO Langkawi. Saya kenal awal lagi dah sebelum masuk KCS lagi.. |
Bermula dengan pengiklanan jawatan Pegawai Tadbir Negeri Kedah dalam akhbar Utusan Malaysia.. Kebetulan saja saya terlihat semasa di Kolej Swasta tempat saya mengajar.. Kalau nak beli setiap hari tidak adalah .. tengok ada iklan itu... terus saya memohon tanpa apa-apa pengharapan yang tinggi kerana saya tahu pencapaian akademik saya di Universiti Kebangsaan Malaysia tidaklah baik sangat. Sayapun tidak tahu jawatan Pegawai Tadbir Negeri ini, kerjanya macam mana. Hantar borang teresebut ke SPA dan terus senyap begitu sahaja.
Sehinggalah beberapa bulan selepas itu, saya mendapat jemputan untuk menghadhiri temuduga.. Terkejut juga bila mendapat panggilan temuduga tersebut.. Dalam beratus-ratus orang yang memohon, tiba-tiba saya dipanggil temuduga. Apa kelebihannya saya pun tidak tahu. Ketika itu saya masih lagi mengajar di Kolej Utara. Sudah dipenghujung perkhidmatan kerana saya dengar berita yang kontrak saya tidak akan dilanjutkan lagi oleh Kolej Utara.. Pengetua Kolej yang juga pemilik kolej itu nama Cik Gu Shamsuri . Dia antara guru tuisyen ekonomi yang terbaik di bandar Alor Setar ketika itu. Saya bersama aruah abang ipar juga pernah belajar tuisyen ekonomi dibawah Cik Gu Shaamsuri ketika tingkatan 6 dulu.
Mungkin pihak Kolej tidak puas hati rasanya dengan cara saya mengajar.. mengajar mata pelajaran ekonomi pula.. Jenoh ajar nak bagi anak murid faham.. Akhirnya mereka tidak faham juga.. Memang susah nak ajar subjek ekonomi ni.. sebab itu tidak ramai yang dapat Prinsipal A atau B atau C. Saya sendiri masa ambil Sjil Tinggi Persekolahan hanya mendapat prinsipal E sahaja.. Itupun dapat juga masuk universiti dan buat Ijazah Ekonomi pula tu. Mungkin kerana orang kampong , diberi kelonggaran sikit. Saya tidak mahu ceritalah macam mana peritnya belajar ekonomi di univerisiti dengan segala kekurangan diri yang ada..
Sebenarnya saya ada usaha juga bersama bapa saya cari sokongan orang-orang yang dirasakan boleh membantu. Saya dan keluarga tidak ada hubungan langsung berkenaan orang-orang penting dalam kerajaan negeri Kedah ini.. Apatah lagi mereka yang berada di Wisma Negeri atau di SPA.. Saya juga dengar kata jawatan ini hanya dipenohi oleh anak-anak mereka yang berstatus berkedudukan tinggi juga dan ada 'conection' Bila saya mendapat surat panggilan temuduga tersebut, beberapa hari selepas itu bapa saya dan seorang sahabatnya aruah Pak Cik Ya yang duduk dekat Kilang Padi Sungai Limau Dalam, ajak saya pi ke Yan. Sayapun pergilah ke Yan dan ke sebuah rumah kayu yang besar macam rumah kuarters kerajaan... disitulah kami bertemu dengan Dato' Sharif Puteh. Saya tak kenal siapa Dato' Sharif Puteh ni, tapi rakan bapa saya telah bagi tahu Dato' Sharif ni adalah bekas KCS yang telah bersara.. mungkin sokongannya boleh pakai juga rasanya.. Kami hanya pergi sembang-sembang sahaja dan tanya apa-apa yang boleh membantu masa temuduga KCS nanti.. Saya tidak meninggalkan apa-apa surat atau pengenalan diri saya kepada Dato' Sharif hanya memberikan nama penoh sahaja pada beliau . ,Sebelum kami pulang beliau ada sebut akan tengok-tengokkan kalau-kalau sahabat-sahabat dia di SPA boleh membantu. Dato' Sharif Puteh ini sebenarnya adalah ayah kepada saudara Nasron b. Dato Sharif yang juga seorang pegawai KCS sekarang ini yang pernah bekerja dibawah saya.. Tak taulah samada Dato Sharif cuba tolong cakapkan atau tidak. Saya hanya berserah kepada Allah SWT sahaja.. tidak mengharapkan apa-apa.
Pada hari temuduga itu, maka bertolaklah saya dari Sungai Limau Dalam ke Alor Setar dengan menunggang motosikal yang saya gunakan sejak di Universiti lagi. Sepanjang perjalanan itu berfikir macam-macam dan dengan penuh perasaan kerisauan... Sejak keluar dari Universiti , saya tidak pernah menghadhiri temuduga kerja sepenting ini. Memang ketar sangat-sangat. Macam-macam perasaan timbul... Inilah kali pertama saya menghadhiri temuduga kerja. Pengalaman menghadhiri temuduga langsung saya tidak ada.
Waktu itu pejabat SPA terletak di Bangunan Sultan Abdul Halim, Waktu sampai tempat temuduga itu sudah ramai yang menunggu dan ada juga saya lihat sahabat-sahabat dari universiti yang sama hadhir sama menunggu . Dalam ramai-ramai yang hadhir temuduga saya rasa macam tersisih benar. Ada yang bawa macam-macam surat sokongan seperti sokongan dari istana, sokongan dari pejabat Menteri Besar, dari Yang Berhormat dan macam-macam lagi surat-surat sokongan dari pelbagai institusi yang penting. Ada juga yang mempunyai kelayakan yang tinggi seperti mempunyai Ijazah Sarjana, ada Diploma tambahan dan sijil-sijil profesional lainnya . Selain itu ada juga yang mempunyai pengalaman kerja yang cukup kukuh untuk dipertimbangkan. Saya hanya datang berbekalkan sijil-sijil yang ada dan diri sendiri tanpa apa-apa surat sokongan orang-orang penting dan tanpa pengalaman yang secukupnya. Saya merasa macam nak balik saja , tak mahu masuk temuduga tersebut.
Perjalanan sepanjang temuduga berjalan lancar. Sewaktu masuk bilik temuduga saya dapati ada 3 orang panel yang mengendalikan temuduga tersebut. Yang saya ingat ialah Ybhg Dato' Paduka Sheikh Majid, Dato' Syed Harun dan seorang lagi yang saya tidak ingat namanya. Perasan gementar hanya Allah SWT sahaja yang tahu.. Ada soalan yang saya boleh jawab dan hurai, ada juga soalan yang saya tidak jawab langsung.. ada jawapan yang penal dok gelak sahaja kat saya.. nasiblah diri ini.. Dalam hati memang tidak yakin langsung yang panel akan memilih saya. Tamat temuduga , kembali saya ke sekolah swasta tersebut sambung mengajar semula.. Untuk menyedapkan hati anggap temuduga ini sebagai peluang menimba pengalaman menghadiri temuduga sahaja... tanpa ada apa-apa pengharapan langsung kerana saya sedar siapa diri saya dan pencapaian saya semasa temuduga tersebut.
Walau bagaimanapun sebelum saya menghadapi temuduga saya usahalah sikit buat soalan-soalan ramalan yang mungkin ditanya...dan sediakan jawapan yang lengkap.. dulu nak cari bahan-bahan rujukan mana ada internet macam sekarang ini, kena cari buku.. so tak banyak la yang saya boleh cari dan baca.. dirumah mana ada buku-buku nak tengok.. yang ada Al Quran dan ada lah beberapa kitab berkenaan tafsir Al Quran dan buku-buku agama yang mudah-mudah yang abang dan kakak saya punya..
Oleh kerana nama saya MOHD ASRI REDHA, saya rasa mungkin ada soalan-soalan berkaitan dengan nama saya ni, sebab saya rasa, tidak ada lagi setakat sekarang nama yang sama lengkap seperti nama saya.. Ada nama MOHD mengambil sempena nama junjungan besar Nabi kita.. , ada ASRI seperti dalam surah Wal Ashri dan dalam agama selalu dikaitkan dengan REDHA dengan ketentuan Allah SWT..
Yang MOHD tu bolehlah jawab sedikit sebanyak fasal junjungan besar Nabi kita, dan REDHA jika ditanya saya bolehlah jawab secara umum, yang ASRI,.. saya hafal surah Wal Ashri tersebut berserta maknanya dan tafsirnya sekali secara mendalam termasuk kaitkan kepentingan masa dalam urusan seharian.. yang ini saya pulun sungguh, cari bahan untuk bercakap kalau ditanya. Betul seperti yang dijangkankan, Allah SWT melorongkan peluang kepada hambanya , dalam banyak-banyak pertanyaan, yang ada boleh jawab dan ada tak boleh jawab, terkeluar satu soalan berkaitan nama saya dan apa kaitan antaranaya.. Soalan ini ditanya oleh Dato' Paduka Sheikh Majid. Dato' Paduka Sheikh Majid ini pada waktu itu saya tidak tahu latarbelakangnya .. rupanya ulamak besar negeri Kedah . Apa lagi saya terus saja bercakap dan ulas panjang berkenaan surah Wal Ashri dan terjemahan serta tafsirannya sekali dan kaitkan kepentingannya dan tanggungan terhadap masa.. Yang ini saya boleh bercakap panjang dan sampai tamat temuduga, pertanyan berkisar kepada nama saya itu saja .. Itu yang saya rasa 'confident' sikit.. Mungkin agaknya kerana yang ini kot yang menyebabkan pihak panel mempertimbangkan saya.
TAWARAN KERJA
Ketika sedang menguroi padi di halaman rumah, saya didatangi posmen yang membawa surat yang ditujukan kepada saya.. Tengok sampul tu, sampul kitar semula...Dah guna tapi diguna balik, Mungkin waktu tu kerajaan sedang melaksanakan langkah penjimatan perbelanjaan.. Bagus juga cara tu.. Tengok diluar tu tulis URUSAN SERI PADUKA BAGINDA dari Pejabat SPA Negeri Kedah.. Dalam hati tahu dah mesti surat pemakluman kata tidak berjaya temuduga. Lagipun jarak masa yang begitu lama dari tarikh temuduga hingga mendapat surat tersebut... lebih kurang 4 bulan.. dan 'expired' dah. Kata urusetia SPA waktu tu, kalau tidak mendapat apa-apa berita dalam tempoh 3 bulan, anggaplah permohonan itu tidak berjaya.. Jadi malaslah nak buka, kerana memang jangka tak akan berjaya.. Saya teruslah menguroi padi yang berlambak dituang atas tanah dengan berlapikkan plastik besar.. Tapi emak tengok surat tu yang saya selit dekat tingkap rumah.. Dia ambil dan buka juga surat tu.. Emak saya boleh baca juga , kerana dia hadir juga kelas dewasa belajar membaca dan menulis yang dianjurkan oleh kerajaan waktu tu. Bila dia baca dan tahu saya berjaya dalam temuduga , tersenyum-senyum dia mai bagi tahu saya.. Apa lagi terkejut berok saya , macam mana boleh jadi macam tu.. tiba-tiba ditawarkan jawatan Pegawai Tadbir Negeri Kedah... siap dengan gaji mula dan gaji mati sekali dimaklumkan.. Hati berbunga-bunga , rasa gembira amat sangat.. Bapa saya macam biasa saja, dia nampak bukan kisah sangat, dapat kerja ke tak dapat kerja.. Tapi saya tahu dia pun gembira tengok anak dia dapat kerja.
Perlu diberi tahu waktu itu ialah zaman kegawatan ekonomi yang amat terok.. Ekonomi dunia dan negara menjunam terok.. Peluang kerja amat terhad dan ramai juga yang terpaksa diberhentikan kerja.. Allah SWT sengaja melorongkan rezeki untuk saya begitu mudah untuk mendapat kerja tersebut dengan menamatkan pengajian universiti lebih awal setakat 3 tahun sahaja dan terus mencari kerja. Kawan-kawan yang sama masuk UKM meneruskan ke tahun 4 untuk mendapatkan Ijazah Kepujian. Saya hanya ambil Ijazah Tanpa Kepujian.. Hanya mendapat Ijazah Sarjana Muda Ekonomi (am)sahaja . Itu yang saya kata kelayakan saya tidaklah sehebat mana.. Kawan-kawan yang sambung ke tahun 4 , bila keluar ramai yang menganggur dan kerajaan telah mengadakan skim siswazah sambilan dengan elaun RM500 sebulan untuk membantu siswazah yang menganggur sementara mendapat kerja tetap.
MELAPOR DIRI....
Ok berhenti disini dulu.. nanti bila ada idea lagi saya sambong dalam bahagian ke 2 pula .. TQ
...................................................................................................................................................................
(Memandangkan sukarnya nak mohon kerja sekarang ini, saya karang sikit berkenaan panduan memohon kerja berdasarkan pengalaman saya sepanjang bertugas sebagai pegawai tadbir negeri seperti link dibawah ini.. Boleh juga menjadi panduan pada adik-adik yang masih lagi mencari kerja...
klik saja kat situ: https://semangatjatikarya.blogspot.com/2010/04/susah-sangatkah-memohon-kerja-dan.html
Menguroi padi : melakukan proses membersihkan biji-biji padi dari segala bahan yang tidak diperlukan seperti daun-daun padi dan lain-lain kotoran atau sampah. Untuk mengasingkannya padi yang diayak tadi dengan menggunakan kipas angin yang digerakkan kudrat tenaga tangan.. Jadi yang tinggal hanya padi sahaja.. Kalau tidak diayak dan diasingkan sampah-sampah, kilang padi akan buat potongan yang banyak dan merugikan pesawah,.