BERITA KCS REDHA

Apa orang kata fasal KCS...apa pula kita kata fasal KCS...macam-macam orang kata...



Friday, September 30, 2011

MaRi KiTa BeRuBaH.... Seminar Pemantapan Integriti Dan Urus Tadbir Perkhidmatan Awam Negeri Kedah..

29 September 2011

Hotel Amanpura, Sungai Petani
Catatan: Mohd Asri Redha

Hari ini telah dua hari saya menghadiri Seminar Pemantapan Integriti & Urus Tadbir Perkhidmatan Awam Negeri Kedah, yang dianjurkan oleh INSPIN bersama dengan kerajaan negeri Kedah. Amat sesuai sangat seminar ini diadakan pada waktu ini terutama kepada pegawai-pegawai kanan Kerajaan Negeri Kedah DA. Sudah sampai masanya isu-isu integrity dan urus tadbir jabatan-jabatan kerajaan diketengahkan dengan lebih hebat lagi dikalangan penjawat-penjawat awam negeri Kedah ini. Kali ini melibatkan Pegawai Tadbir Negeri Kedah, Pegawai Tadbir Agama dan Penghulu-Penghulu Mukim.

Saya melihat betapa pentingnya hal-hal berkaitan ini diketengahkan bukan sekadar setakat pegawai-pegawai kanan sahaja yang perlu tahu, malahan semua warga kakitangan awam kerajaan Negeri Kedah dari semua peringkat. Tidak ada gunanya diperingkat atas prihatin tapi diperingkat bawah pula tak tau apa yang dibincangkan dan hendak dituju. Bukan semua ketua-ketua jabatan yang ada boleh sampaikan balik apa yang diperolehi kepada anak-anak buah….balik ke pejabat hanyut begitu saja...

Berdasarkan tajuk-tajuk yang diketengahkan dalam bengkel ini saya rasa ianya menepati keperluan yang saya maksudkan. Saya akan cuba mengulas beberapa isu yang berkaitan berdasarkan pengalaman dan pemerhatian saya terhadap isu-isu yang dibangkitkan. Tokoh-tokoh yang menyampaikan pandangan dan ceramah bukan calang-calang orang dan memang mereka berpengalaman dalam bidang masing-masing dan sewajarnyalah kita dapat mengambil pandangan mereka sebagai panduan dan rangka bertindak dalam jabatan masing-masing.

Ceramah oleh Ustaz Badli Shah bin Alauddin dari Jabatan Agama Islam Pahang bertajuk ' Jati Diri Penjawat Awam Bagi Pelaksanaan Berkesan Untuk Pencapaian Wawasan'  memang menarik perhatian saya dan terpegun dengan cara penyampaian oleh pegawai muda ini… Malangnya masa agak terhad untuk penjelasan lebih mnyeluruh. Ceramah beliau amat menarik terutama dengan membuat perbandingan dengan kajian-kajian penulis-penulis barat yang telah mengambil nilai-nilai hebat yang ada pada Nabi Muhammad SAW hinggalah mereka meletakkannya ke tahap yang begitu tinggi tanpa prasangka walaupun mereka sendiri kekal dengan pegangan agama asal mereka. Orang Barat sendiri sudah memberi penghormatan yang tinggi kepada Nabi Muhammad SAW… maka sudah sewajarnya kita sebagai orang Islam lebih-lebih hebat lagi menyanjungi Nabi teragong kita ini dengan mengambil segala nilai-nilai yang ada pada nabi untuk diimplimentasikan dalam diri , keluarga dan kerjaya kita.

Orang Barat sudah mula meneliti akan isu-isu ketuhanan dalam pengurusan. Dalam menuju kecemerlangan disegala aspek ciri-ciri utama dalam diri Nabi Muhammad SAW perlu diterapkan dalam diri masing-masing.. Sebab itu perubahan sikap amat penting. Untuk merubah manusia dari kurang baik kepada baik dan lebih baik bukan perkara mudah. Inilah cabaran besar kepada pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri Kedah untuk membuat sesuatu bagi merubah sikap anak-anak buah. Pada masa yang sama boss-boss pun kena ubah sikap juga sebab boss-boss itupun manusia juga. Kita perlu mendapat kepercayaan orang. Untuk mendapat kepercayaan orang kita jangan berbohong….Nabi Muhammad SAW amat berjaya dalam kehidupannya kerana asas kepercayaan pengikutnya beliau tidak pernah berbohong. Macam-macam cara berbohong dan tidak perlulah saya ulas panjang…..

Idea baru yang saya dapat dari penceramah…

A B C D E F G H I   J   K  L   M  N  O   P  Q  R    S   T  U  V  W  X  Y  Z

1  2  3 4 5  6  7 8 9 10  11 12 13 14 15 16  17 18 19 20 21 22  23 24 25 26

H  A  R   D   W   O   R   K

8+1+18+4 +23+15+19+11 = 98%

K      N     O     W     L     E   D   G   E

11 + 14 + 15 + 23 + 12 + 5+ 4+ 7+ 5 = 96%

L    U   C   K

12+21+3+11 = 47%

A    T      I     T      U     D    E (Personaliti Yang Unggul)

1 + 20 + 9 + 20 + 21 + 4 +  5 = 100%

Berdasarkan kiraan diatas ini , macam kebetulan pula.. kalau kerja kuat lagu manapun pencapaian tak akan sampai 100 peratus. Begitu juga kalau staf mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi sukar juga untuk mencapai kecemerlangan . Apatah lagi kalau hanya berharap nasib baik sahaja , lagilah sukar untuk mencapai kecemerlangan yang diinginkan. Tapi kalau kita dapat mengubah ‘attitude’ anak-anak buah maka barulah kita boleh mencapai kecemerlangan 100 peratus…. Maknanya ‘ATTITUDE’ itu terlalu amat penting untuk diambil kira dalam mencapai kecekapan dan kecemerlangan.

Apa yang anda nampak?
Isu PERSEPSI juga banyak memberi masalah.. persepsi yang salah akan nampak benar kalau semua orang berfikiran begitu… sukar untuk kita mengatasi masalah persepsi ini.. contohnya persepsi jabatan kerajaan adalah lembab, manakala sector swasta cekap… perkara ini tidak pernah dipertikaikan walaupun sekarang ini keadaan sudah jadi sebaliknya.. Tapi persepsi begitu sudah lama terpahat dikalangan rakyat, maka kalau lambat itu adalah jabatan kerajaan. Kalau swasta lambat , tak pula dipertikaikan pula.. itulah persepsi… Kita kena lebih berhati-hati dengan persepsi sebegitu. Perlu ada sedikit penilaian sebelum menerima atau menolak persepsi itu.


Persepsi seseorang itu
bergantung kepada cara
mana ia melihat sesuatu
berasaskan fahamannya,
ilmunya, persekitarannya,
kesukaannya...
... soo..ini apa?
 Tajuk ceramah ‘ Membina Tadbir Urus Yang Baik’ oleh Dato’ Seri Abu Kassim b. Mohamad.. Ketua Pesuruhjaya SPRM Malaysia. Kata beliau tidak ada integrity telah menghancurkan system nilai baik yang diamalkan oleh jabatan-jabatan. Kerajaan rugi berbillion RM kerana rasuah dikalangan penjawat awam disegala peringkat. Apa yang penting kepada penjawat awam ialah jangan ambil rasuah. Duit rasuah tidak halal dan jangan jadikannya itu beban yang terpaksa kita tanggung hingga akhirat nanti. Kalau kita terlepas hukuman dunia tapi hukuman Tuhan tetap ada dan Allah mengetahui segalanya. Rasuah menjadikan orang-orang yang benar-benar layak ditinggalkan, segala undang-undang yang ada diabaikan, peraturan yang ditetapkan dilonggarkan dan segala macam bentok pertolongan mudah diberikan dengan ganjaran.

Satu lagi tajuk penting yang sentiasa menjadi isu hangat ialah Laporan Ketua Audit Awam. Malangnya ceramah seperti ini orang tidak berapa nak minat. Kalau melihat kehadiran peserta dalam ceramah oleh Puan Ong Swee Leng dari Jabatan Audit Negara memang menyedihkan. Banyak yang tidak memberi perhatian. Banyak ada diluar bilik seminar sahaja berbual-berbual seolah-olah perkara yang dibangkitkan itu tidak penting. Itu sebab teguran yang sama berulangkali dibangkitkan oleh jabatan audit sebab ‘attitude’ kita yang buat tidak kisah.

Tiap-tiap tahun laporan audit berkisar perkara yang sama dimana ketidakpatuhan pada peraturan dan prosedur kewangan dan pentadbiran yang ditetapkan. Mengapakah susah sangat nak ikut peraturan dan prosedur yang ditetapkan.. Ikut sahajalah. Sayapun hairan juga macam-macam perkara dibangkitkan dalam teguran audit dijabatan-jabatan yang saya kerja yang pada pandangan saya tidaklah susah manapun untuk buat sepertimana peraturan dan prosedur … di mana silapnya… Adakah boss pun masih khayal dengan pangkat dan kuasa yang ada. Apakah benda-benda kechil seperti ini tidak mainlah… ini bukan kerja boss… Sebab itulah setiap tahun perkara yang sama dibangkitkan.. Apakah ketua jabatan sahaja saja yang perlu turun padang selalu untuk tengok ini semua. Pegawai kanan-kanan lain tu buat apa. Pangkatpun tinggi juga, gajipun boleh tahan juga, ada kuasa lagi.  Mereka juga berkelayakan dan kemahiran serta pangkat yang diberi kuasa juga .

Seingat saya dulu lain.. Kalau Ketua Kerani /Kerani Kanan tu memang hebat.. Opis Boy atau Kerani memang tidak berani buat tidak ketahuan. Dia jerkah saja sudah cukup menggerunkan anak buah. Apatah lagi Ketua Jabatan lagilah hebat. Jadi segala pergerakan aktiviti kakitangan dikawal dengan begitu baik oleh pegawai-pegawai kanan dibawahnya mengikut kekananan dalam jabatan. Sebab itu disiplin kakitangan dulu agak baik.

Tapi lama kelamaan keadaan mula berubah. Jawatan-jawatan kanan dalam jabatan makin banyak dan semakin tinggi pula tu, gajipun boleh tahan juga. Malangnya dari segi pengurusan sumber manusia terutama disiplin terlalu amat lemah. Nak tegorpun tidak berani. Nak arahpun tidak berani. Sepatutnya dalam jabatan penolong-penolong yang ada perlu memainkan peranan penting dalam membantu ketua jabatan untuk memastikan semua kakitangan menjalankan tugas seperti yang diarahkan, bukan sama-sama berkawan dunia akhirat sampai nak tegorpun tidak berani walaupun nampak kesalahan dan kecuaian depan mata… kenapa jadi begini. Dok nak tunggu ketua jabatan juga buat teguran dan buat surat amaran atau tunjuk sebab…. Budaya seperti inilah yang saya rasa salah satu penyebab mengapa tahap disiplin kakitangan jabatan-jabatan kerajaan begitu lemah. Kalau buat penilaian pula sikit punya bagus, sampai lebih 90% yang pada pemerhatian saya nak bagi 60 % pun tak layak. Kakitangan kalau dibuat penilaian begitu maka anggapannya kerja teruknya inipun kira baguslah… jadi apa nak kisah…pegawai atasan dengan anak buah pakat-pakat jaga periok nasi . Aku jaga hang, hang jagalah aku.... 

Antara beberapa perkara penting yang saya dapat kutip dari ceramah tersebut mengapa lah jadi terok sangat macam tu … ialah kerana sumber manusia tidak kompeten, tidak tahu buat kerja, baru kerja, tidak mahir, kurang penyeliaan – sikap tidak peduli pegawai dan bos, sambil lewa terhadap penyeliaan, ketidaktelitian dalam urusan kerja menyebabkan berlaku kesilapan, ketinggalan dan kecuaian, sikap sambil lewa ketua jabatan terhadap pegawai bawahan, tidak rajin dan malas dalam menjalankan tugas, kurang kakitangan kelayakan, kemampuan yang terhad, terlalu bergantung kepada juruperunding dan pelbagai segala macam kekurangan dan kelemahan. Itulah seperti yang saya cakap tadi.. masalah sikap atau attitude manusia itu memainkan peranan. Melihat banyak peserta yang tidak berminat untuk mendengar ceramah berkenaan audit ini jelas menunjukkan itulah nanti akan jadi pada jabatan yang diterajuinya

Syor penceramah ialah guna pendekatan S I K A P.

S  Supervision

I   Interest

K Knowledge

A  Attitude

P Procedure

Ceramah berkenaan ‘Melaksanakan Transformasi Sektor Kerajaan’ oleh en Shahrir bin Mohamad Zakey dari MAMPU juga menarik untuk diulas..Sekarang kerajaan sedang kearah Transformasi Sektor Awam … tentunya kearah yang lebih baik. Kata penceramah penentu kepada kejayaan transformasi adalah bergantung juga kepada Sumber Manusia. Terdapat 3 kategori pekerja menurut Colan L.J dlm bukunya bertajuk ‘Engaging the hearts & mind of all your employees” iaitu:

Kategori pertama: Engaged employees- buat kerja sepenuh hati…. Hidup mati fikir fasal kerja. Patuh segala peraturan dan arahan . Kreatif dan inovatif.

Kategori Kedua: Disengaged employees….kurang usaha. Mai kerja macam terpaksa, tidak begitu bersungguh –sungguh kearah kecemerlangan jabatan

Kategori Ketiga: Actively disengaged employees..dahlah penyegan dan malas… rasuk pula pekerja lain ikut macam dia… orang macam ni tak patut ada dalam organisasi dan memang tak berguna langsung.

‘DIMANAKAH DUDUK KATEGORI ANDA’ ……..

Namun begitu bercakap memang mudah... halangan kerajaan persekutuan terhadap kerajaan negeri dibawah kerajaan pembangkang dalam kes-kes tertentu memang ujud walaupun tidak tersurat,. tapi yang tersirat itu sukar dijangka apatah lagi pertimbangan yang dibuat berasaskan pertimbangan politik..

Petang ni dalam suasana mengantuk yang amat sangat yang rasanya nyaman untuk tidor.. saya gagahkan diri untuk tetap bersama dalam seminar yang belum lagi tamat. Saya ingin mendengar ceramah dari seorang pensyarah dari UUM yang dulunya adalah seorang Ketua Pengarah Kemas Malaysia iaitu Dato’ Abu Seman Awang. Tentunya beliau banyak pengalaman untuk diketengahkan bagi kebaikan saya dan para peserta. Tajuk yang diberikanpun ialah ‘Budaya Kerja Ke Arah Peningkatan Sistem Penyampaian’. Perkara berkenaan PersePsi juga diketengahkan dalam permulaan ceramahnya dengan menunjukkan slide gambar yang mamaparkan dua keadaan yang jauh berbeda walaupun gambarnya sama. Ia bergantung dengan cara seorang individu itu melihat berasaskan kepada pengetahuannya, keilmuannya, pengalamannya dan sebagainya. Budaya Inovasi adalah penting dalam pengurusan. Ketua jabatan kena ada kemahiran ini. Buat kerja berbeda dengan ketua sebelum ini, buat sesuatu kerja bagi nampak berbeda. Untuk transform jabatan kearah bertaraf dunia memerlukan daya kepimpinan yang tinggi. Kemahiran kepimpinan adalah penting. Bukan perkara mustahil untuk berubah kearah yang lebih baik dan kecemerlangan.

Ok.. rasanya panjang juga ulasan saya ini… Cuma satu perkara menarik perhatian yang tidak pernah jabatan kerajaan lain buat ialah Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MOU) Antara Pejabat Tanah Pendang, Pejabat Daerah Pendang dan Majlis Daerah Pendang Dan SPRM yang diadakan dalam seminar ini. Tahniah kepada jabatan berkenaan kerana berani dan telus dalam pentadbirannya. Tahniah kepada pegawai KCS yang menerajui orgaanisasi ini atas tindakan berani dan berinovasi ini. Adalah menjadi harapan tahap integrity jabatan bertambah baik dan member imej yang lebih kepada kerajaan dan memberi kebaikan kepada rakyat.

Ok.. jumpa lagi…







Friday, September 2, 2011

Al Fatihah.... buat aruah sahabatku Dato' Abdul Rahman Ahmad.....

Catatan:
Mohd Asri Redha..2.9.2011


Hari ini saya mendapat khabar berita sedih Dato'  Abdul Rahman Hj. Ahmad, Pegawai Daerah Kota Setar  telah kembali ke Rahmatullah.. Pagi ini saya sempat mengunjung jenazahnya di Kg Alor Belat. Ramai rakan taulan mengunjung menziarahi mayatnya .  Allah telah menjemputnya lebih awal sebelum tamat bersara. Kuasa Allah tidak  ada siapa boleh menghalangNya walau sesaatpun.. Kita kena terima hakikat bahawa kita juga akan kembali menghadap Nya..  hanya masa yang akan menentukannya. Oleh itu bersiap sedialah sentiasa, tanpa menunggu umur tua atau lepas bersara baru nak kumpul modal ke alam akhirat/baqa. 

Maka  berkuranglah lagi seorang rakan baik senior saya dalam KCS. Baru beberapa minggu yang lepas saya sempat berbual-bual dengannya. Satu perkara yang saya hairan sampai sekarang ini ialah bila bercakap dan berbual dengan saya beliau terlalu hormat, berbahasa dan formal... tak taulah fasal apa. Namun dari segi peribadi dan pergaulannya beliau adalah merupakan seorang KCS yang agak unik. Beliau berjaya mengekalkan jenama yang amat terkenal dan sinonim dengan dirinya. Pak Lang.... itu gelarannya. Kalau sebut Pak Lang dikalangan KCS.. semua orang tahu bahawa itulah Dato' Hj. Abdul Rahman Ahmad. Kadang-kadang pelakuannya agak nampak pelik dan gila-gila sikit .. tapi kepelikannya itu boleh diterima oleh kebanyakan orang disebabkan karektarnya begitu.. Itulah kehebatan Pak Lang ini. Beliau amat disenangi oleh semua rakan taulan dan kakitangan yang pernah

Agaknya apa yang direnung panjang
oleh Allahyarham Dato'Abdul Rahman
Ahmad... Merenung jauh sekali. .......
(gambar diambil 23 Ogos 2011 di Menara
Zakat semasa MajlisPerasmian
Pusat Haemodialisis Pusat
Zakat Negeri Kedah
Oleh KBDYMM Tuanku Sultan Kedah
 bekerja bersamanya...

Sebab itu  adanya Pak Lang ini menceriakan komuniti KCS ini dan di kalangan rakyat yang mengenalinya...Tidak hairanlah beribu orang turun menziarahi memberi penghormatan kepada  Allahyarham Pak Lang  dan ucapan takziah kepada keluarganya tidak mengira agama dan bangsa.

Beliau seorang yang 'sporting' termasuk keluarganya . Tidak hairanlah kalau ada apa-apa aktiviti KCS beliau tidak masalah untuk mengambil bahagian malahan keluarganya juga diheret sama mengambil bahagian.  Jangan lupa Allahyarham mempunyai 2 isteri, tapi uniknya hidup mereka harmoni dan boleh bersahabat sebagai satu keluarga. Hobi beliau ialah menembak. Sebab itu beliau aktif dalam Askar Wataniah, satu-satunya DO yang aktif dalam pasukan sukarela ini .. Sekali sekala beliau berpakaian rasmi Tentera Wataniah berpangkat Mejar Kehormat.. Segak juga nampak Pak Lang ini. Jangan terkejut   juga kalau jumpa Allahyarham sebelum ini... pistol automatik tersisip dipinggangnya kemana saja beliau pergi..  Nampak saja kecil , tapi 'cenge' juga... sapa-sapa nak buat tak ketahuan kepada Pak Lang ni, silap banyaklah..

Antara SMS Hari Raya Aidil Fitri
yang dihantar pada pada rakan-rakan
tidak mengira status/pangkat di
hari-hari terakhir sebelum
pemergiannya
Satu perkara yang saya dan kebanyakan rakan tak berapa boleh nak ikut ialah beliau pasti memelok rakan-rakan dan sahabat- sahabat yang ditemuinya (rakan lelakilah) tidak kiralah apa bangsa.... Memelok bagi beliau akan meningkatkan lagi kemesraan... Sapa yang tidak bisa kena pelok tentunya kekok...Itulah keunikan Pak Lang kita yang rasanya tidak akan ketemui lagi karektar2 seperti ini dikalangan KCS.

Takziah saya ucapkan kepada keluarga Allahyarham Pak Lang , semoga aruah ditempatkan dikalangan orang-orang yang soleh dan diterima oleh Allah SWT.. Amiin.. 


Mohd Asri Redha
Teratak Kasih