Salam dan Selamat Sejahtera,
Saya berpengalaman berurusan dengan para Exco di zaman BN dan para Exco terkini. Kesimpulannya, para Exco terkini lebih mudah didekati, lebih mudah dibawa berbincang, tidak sombong dan bongkak, dan tidak begitu mementingkan protokol. Mungkin mereka sedar bahawasanya mereka di kedudukan itu kerana rakyat yang memilih mereka.
Saya juga sering berurusan dengan para KCS. Kesimpulannya, para KCS acuan BN (tidak kesemuanya) sememangnya golongan yang sombong, bongkak, mengamalkan rasuah dan sebagainya. Saya boleh namakan mereka ini jika diminta. Dari Perbadanan Stadium, Wisma Darul Aman, Majlis Sukan Negeri, Pejabat Tanah dan Daerah serta Majlis-Majlis Daerah / Perbandaran…saya tahu siapa yang menyusahkan pucuk pimpinan sediada, mengambil “komisyen” dari kontraktor, supplier dan sebagainya. Saya juga mempunyai pengetahuan KCS mana yang mendalangi usaha mencelarukan Kerajaan Negeri. Mereka berani untuk tidak mematuhi para Exco kerana mereka ini dipayungi oleh Dato’ SUK dan bukan para pucuk pimpinan negeri.
Saya juga mengenali YB Manikumar kerana pernah berurusan dengan beliau beberapa kali. Pada pendapat saya, beliau seorang yang mempunyai prinsip, percaya dengan perjuangan beliau, berani menyuarakan sesuatu yang benar dan salah seorang pemimpin yang meletakkan kepentingan rakyat di hadapan dan YAB MB sebenarnya tahu tentang keperibadian beliau.
Apabila YB Manikumar “menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap corak pentadbiran Kerajaan Negeri yang dilihat seolah-olah lebih memberikan kepercayaan kepada pentadbiran (perkhidmatan awam negeri atau KCS) dan bukannya kepada barisan Exco selaku barisan Kabinet Negeri” .. percayalah sememangnya ia berlaku dan semua orang yang terlibat dengan “Kerajaan Negeri” tahu tentang perkara ini.
Pada pendapt saya juga, MB memberikan kepercayaan kepada para KCS supaya kepakaran dan pengalaman luas para KCS dapat digembelengkan dengan kepakaran para Exco dan seterusnya akan dapat menjadikan negeri Kedah yang sejahtera. Tetapi apa yang berlaku ialah para KCS terbabit menjadi sombong, bongkak dan sering tidak memperdulikan apa yang cuba dilaksanakan oleh para Exco. Kebanyakkan mereka tidak memperdulikan dan menyokong apa yang cuba dilaksanakan oleh para Exco walaupun ianya akan memberikan faedah kepada negeri.
Berbeza dengan keadaan dahulu (zaman BN) yang mana, para Pengarah dan Pegawai akan terhegeh-hegeh melaksanakan arahan dan langsung tidak berani mengangkat muka ketika berhadapan dengan para Exco. Tetapi keadaannya sangat berbeza sekarang. Mereka berani memperlekehkan pucuk pimpinan.
Pada hemat saya ini berlaku kerana….Ketika PR mula mengambil alih, para KCS berada di dalam keadaan berwaspada. Mereka bertindak mematuhi segla peraturan hatta para pengarah juga tidak berani membawa pulang kenderaan jabatan ke rumah. Tetapi, setelah mereka mendapati Ustaz tidak begitu “garang” mereka kembali memperlihatkan belang mereka. Kalau tidak percaya, tinjaulah rumah para pengarah malam ini. Sebahagiannya menggunakan kenderaan milik jabatan sebagai kenderaan peribadi.
Saya harap MB akan melakukan sesuatu tentang perkara ini. Tahu di mana, dengan siapa, dan bila hendak “bertegas” dan waktu bila dengan “berlembut”.
Para pucuk pimpinan negeri mampu untuk merencanakan yang terbaik buat Negeri Kedah dan para KCS seharusnya menyokong membantu melaksanakan..dan bukan sabotaj!!!.
Saya sayangkan Negeri Kedah dan saya sayangkan pucuk pimpinan sediada. Jangan biarkan para KCS acuan BN ini merosakkan kredibiliti kerajaan sediada. Bertegaslah dengan mereka yang gagal menjalankan tugas, tukarkan mereka jika perlu. Jangan biarkan mereka mencacatkan kelancaran pentadbiran.
Sekalung tahniah kepada YB Manikumar kerana berani menyuarakan kebenaran walaupun selepas ini beliau akan ditekan kanan dan kiri. Saya harap beliau akan terus berada di dalam barisan Exco dan terus menyumbang kepada Negeri Kedah Darul Aman.
PRU sudah tidak lama. Lakukan sesuatu mulai sekarang……
Wassallam…
[http://kedahlanie.blogspot.com]