BERITA KCS REDHA

Apa orang kata fasal KCS...apa pula kita kata fasal KCS...macam-macam orang kata...



Tuesday, December 8, 2015

Redha SahajA Ya Dengan Ketentuan Allah SWT : Catatan Perjumpaan YB SUK Dengan Semua Pegawai Tadbir Negeri Kedah

Catatan : Mohd Asri Redha.
Tarikh:   01 Disember 2015


Assalaamualaikum WRT.. dan salam bahagia buat sahabat-sahabat yang sudi membuka baca catatan saya dalam blog ini.  Sekali-sekala timbullah catatan saya dalam blog ni..  tak banyak kesempatan masa untuk menulis dengan semewah-mewahnya. Saya dihambat waktu yang terhad dan tanggungjawab yang perlu diutamakan. Tanggungjawab ini sebenarnya bukan setakat dipejabat sahaja, ianya juga terlibat yang diluar pejabat.. itu yang jadi banyak tu..   Kalau setakat kerja dipejabat semata-mata rasanya tak lah berapa masalah sangat...  Saya tulis inipun bukan ada sapa-sapa suruhpun. saja tulis-tulis, apa yang saya ingat ditambah sikit sebanyak ulasan dan pandangan sesedap rasa saya.. Inipun ambil masa juga tu nak taip.. bukan ada fasal apapun.. tapi itulah.. jari ni gatal nak menaip juga ,  jadi taip pilah sikit-sikit..

Kalau orang suruh buat atau tulis bukan nak jadi... baru2 ni saya diminta tolong tulis draf ucapan SUK untuk Majlis Malam Mesra KCS, punya la puas dok memikir nak tulis apa.. tulis untuk ucapan depan raja pula tu. Saya bukan pandai tulis bab-bab yang ada nilai akademik dan bahasa berbunga-bunga..  mengaji pun tak tera mana.. dah hantar draf tu, tak tau lah nak pakai atau tidak draf yang saya coretkan itu... tak kisahlah nak guna atau tidak.  saya tidak kisah sangat... hanya itu yang dapat saya fikirkan cara-cara saya..  

Oklah, baru-baru ini saya dan semua KCS telah dijemput untuk menghadiri Majlis Perjumpaan Semua KCS dengan YB Dato Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah iaitu YB Dato' Bakar b. Din. bertempat di Blok E, Wisma Darulaman, Alor Setar. Inilah perjumpaan pertama secara rasmi yang dibuat oleh YB. SUK dengan semua Pegawai-Pegawai Tadbir Negeri Kedah DA.. Sudah tentu saya dan lain-lain rakan KCS teruja untuk hadhir dan mengetahui apakah yang hendak dikatakan oleh YB SUK baru ni. Maklumlah sebagai SUK yang baru, tentunya beliau ada perkara yang hendak disampaikan dan apa perkara yang beliau hendak semua pegawai KCS ikuti dan patuhi serta laksanakan . Setiap SUK pastinya ada pandangan tersendiri dalam isu-isu tertentu, ada perancangan tersendiri, ada harapan tersendiri, ada cadangan tersendiri, ada pemikiran tersendiri, ada misi dan visi sendiri dalam menguruskan organisasinya. Sudah tentunya semuanya itu adalah untuk kebaikan dan kecemerlangan organisasi itu sendiri..

Saya tak maulah cerita panjang , sekadar saya coretkan sedikit sebanyak apa yang saya sempat rekod, dalam ucapan YB Dato' Bakar Din SUK  untuk ingatan diri saya dan sahabat-sahabat yang ingin ambilnya sebagai satu  panduan dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing di organisasi masing-masing. Saya sekadar mengambil isi-isi penting dan disertai ulasan-ulasan saya sendiri. Mungkin ulasan saya berdasarkan pandangan saya sendiri sahaja dan mungkin tidak sama dengan pandangan sahabat lain dan mungkin  tidak dapat diterima oleh orang lain.. itu terpulanglah.. Bagi saya apa yang dicakapkan  dan dinasihatkan oleh boss saya ini amat berbetulan dan itulah yang selalu saya catat tulis dalam blog saya yang terdahulu berkenaan KCS. Kalau sesiapa rajin melayarinya akan terjumpa macam-macam saya cerita fasal KCS ini. Semuanya hanya sekadar untuk kebaikan saya dan kita semua juga dan tidak ada apa-apa perkara disebaliknya... di penghujung catatan saya ini ada saya sertakan pautannya jika saudara-saudara saya  berminat membacanya...

RASIONAL DALAM MENJALANKAN TANGGUNGJAWAB

YB. SUK menekankan kepada pentingnya semua KCS kena rasional dalam membuat sesuatu tugas dan tanggungjawab. Apa-apa kerja yang dibuat janganlah dibuat diluar dari kebiasaan yang sepatutnya.  Kerana apa-apa yang dibuat diluar kebiasaan akan menimbulkan kejanggalan dalam pentadbiran.. dan menimbulkan persoalan-persoalan dari orang awam dan kepimpinan negeri.  Ini memberi kesan kepada kerajaan negeri sendiri dan juga kepada imej KCS keseluruhannya akan tercalar akibat perbuatan pegawai yang tidak rasional dalam melaksanakan tanggungjawab seharian. Luar kebiasaan yang membawa kesan positif ok juga tapi yang masalahnya luar kebiasaan yang membawa kesan dan imej yang negatif... susah juga nak cerita ni apa itu pekerjaan luar dari kebiasaan

JALINAN HUBUNGAN BAIK DENGAN PIHAK LUAR

Memandangkan saya dan lain rakan-rakan KCS memilih jawatan Pegawai Tadbir Negeri Kedah ini, maka tidak dapat tidak semua KCS kena bijak menjalinkan hubungan dengan kepimpinan negeri dan negara. Menjalin hubungan erat dengan kepimpinan tertinggi memerlukan skill individu yang tersendiri. Semua pegawai tidak boleh lari dari hubungan ini, terutamanya dengan semua ahli-ahli politik baik pihak kerajaan dan pihak pembangkang, ADUN, YAB Menteri Besar Kedah, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah DA, Ketua-Ketua Jabatan Daerah, Ketua-Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan dalam Negeri Kedah DA. Dengan adanya hubungan erat seperti ini , ianya akan memudahkan lagi setiap pegawai KCS menjalankan tugas seharian.  Sebagai Pegawai KCS yang pada akhirnya nanti akan memegang jawatan-jawatan kanan dalam kerajaan negeri Kedah sudah tentu memerlukan kerjasama dan pertolongan dari lain-lain organisasi baik jabatan kerajaan atau NGO. Tanpa kerjasama dari semua pihak sudah tentu agak sukar pegawai-pegawai menjalankan tugas. Untuk mendapat kerjasama inilah yang saya kata sebelum ini setiap KCS kena ada skill dalam menjalinkan hubungan.

HUBUNGAN KCS DENGAN INSTITUSI KESULTANAN KEDAH

YB SUK juga menyentuh hubungan KCS dengan Institusi Kesultanan Kedah.  Beliau menekankan bahawa semua KCS kena dan wajib  mengenali dan mengetahui berkenaan kesultanan Kedah ini, terutama dengan 'Kedah Royal Family' . Tidak kira samada pegawai KCS tersebut dari luar bandar atau bandar, semua KCS perlu menjalinkan suatu hubungan yang sesuai dengan pihak istana. Ini merupakan salah satu tugas utama seorang Pegawai KCS. Sebab itu bila apa-apa berlaku berkenaan kesultanan  Kedah, semua pegawai KCS terlibat dalam mengambil bahagian dan peranan. KCS tidak boleh lari dari tanggungjawab tersebut.  Contoh yang mudah diambil oleh SUK ialah hal-hal berkaitan dengan Sambutan Ulang tahun Keputeraan Sultan Kedah, Kemangkatan, Perkahwinan DiRaja, Protokol, Perasmian2 Majlis yang melibatkan Tuanku Sultan dan Kerabat di Raja, dan perkara-perkara yang seumpama itu, Ada peranan KCS disitu, Pandai-pandailah  pegawai KCS mengambil peranan dan tanggungjawab dalam hal-hal berkaitan itu. Begitu juga jika melibatkan  isteri Pegawai KCS terlibat, maka kenalah terlibat juga bukannya tidak membenarkan isteri mengambil bahagian dalam apa-apa program yang memerlukan kehadiran isteri pegawai.. Beliau sendiri telah melihat ada kecenderongan pegawai-pegawai KCS yang langsung tidak membenarkan isteri untuk terlibat dalam aktivti-aktiviti rasmi dan tidak rasmi yang melibatkan Tuanku Sultan dan Kerabat. Penglibatan isteri ini bukan sahaja dalam aktiviti yang melibatkan istana, tapi juga dengan jabatan dan orang awam yang melibatkan kehadiran isteri pegawai KCS..

'TEAM BUILDING'

Dalam organisasi tidak boleh ada kumpulan-kumpulan yang bertentangan yang boleh mengurangkan kekuatan sesuatu organisasi itu. Dalam 'contact' Pegawai Tadbir Negeri Kedah, perkara inipun diberi perhatian oleh YB SUK. Kalau ada conflict sesama pegawai, sudah tentu ianya akan menimbulkan suatu keadaan yang tidak menyenangkan sesama pegawai. Ikatan persaudaraan semakin longgar dan jauh. Keadaan ini akan menyebabkan KCS tidak ada kekuatan dalam menerajui  atau memperjuangkan sesuatu isu atau kebajikan pegawai. Semua anggota dalam Pegawai Tadbir Negeri Kedah kena bersatu dan bekerjasama baik antara satu sama lain. Jika ini ujud ianya akan mengujudkan keharmonian dan kekuatan yang terbaik dalam organisasi  itu. Barulah Pegawai Tadbir Negeri Kedah disegani dan dihormati baik mana-mana organisasi luar, kepimpinan politik, pihak istana dan rakyat.

PERKHIDMATAN TERBAIK KEPADA PELANGGAN

Sebagai pegawai tadbir dan sebagai pegawai kerajaan, tanggungjawab utama adalah untuk memuaskan semua pelanggan-pelanggan dimana Pegawai KCS itu bertugas.  Ini termasuklah orang politik, para kontraktor,  pemaju perumahan, para pekilang, peniaga-peniaga baik kecil atau besar, petani, pelancong, dan segala-galannya sesiapa sahaja yang berurusan dengan Jabatan-Jabatan Negeri. Yang penting ialah kita kena mempermudahkan segala urusan mereka. Jika segalanya mengikuti peraturan, undang-undang dan prosedur, tidak ada sebab untuk Pegawai Tadbir  Negeri melengah-lengahkan  sebarang permohonan dan kelulusan atau apa-apa sahaja yang perlu. Semua KCS kena ada 'Business Friendly" membantu sesiapa sahaja yang berurusan dengan kita.  Tidak boleh ada rasa cemburu akan kejayaan pelanggan-pelanggan yang berurusan malahan sepatutnya membantu lagi macam mana untuk meningkatkan lagi kejayaan pelanggan yang berurusan. Pegawai Tadbir Negeri Kedah kena lihat dari sudut yang lebih luas kerana kejayaan pelanggan-pelanggan akan memberi kesan kepada negeri Kedah itu sendiri dari segi kerancakan ekonomi negeri, meningkatkan peluang pekerjaan kepada rakyat,  rakyat dapat hidup dengan sejahtera, pendapatan kerajaan negeri akan meningkat , meningkatkan lagi pelaburan luar dinegeri Kedah , menggalakkan lagi sektor pelancongan tempatan dan segala yang berkaitan baik-baik belaka... Pegawai KCS telah diberi ganjaran dari segi gaji dan elaun-elaun yang sudah mencukupi, jadi laksanakanlah tugas dengan sebaik mungkin.
.
KECEKAPAN MENJALANKAN TUGAS

Untuk meningkatkan lagi perkhidmatan kepada rakyat, YB SUK menyarankan supaya semua KCS meningkatkan lagi kecekapan dalam aspek kerja berkaitan. Kalau pegawai tidak cekap , ianya akan memberi kesan kepada produktiviti jabatan-jabatan itu sendiri. Sebab itu banyak juga berlaku kelambatan dalam menguruskan sesuatu urusan yang memberi imej yang tidak baik kepada KCS itu sendiri. Kerajaan Negeri sentiasa menggalakkan semua Pegawai Tadbir Negeri meningkatkan lagi ilmu pengetahuan dalam bidang kerja yang berkaitan.  Meningkatkan ilmu tidak semestinya hanya berusaha mengambil Sarjana tetapi juga ilmu-lmu lain yang boleh mempertingkatkan tahap kecekapan pegawai. Tidak ada makna mempunyai ijazah sarjana atau ijazah yang lebih tinggi tapi tidak memberi manfaat kepada kerja harian pegawai dan pegawai tidak berdisiplin. Niat itu amat penting. Kalau hanya niat untuk mendapatkan ganjaran tambahan akibat mempunyai ijazah tambahan perkara itu tidak sepatutnya berlaku. Peningkatan kecekapan dan produktiviti perlu seiring dengan peningkatan dengan tahap ijazah yang dimiliki  seorang pegawai KCS.  Dalam hal ini program mensarjanakan semua Pegawai Tadbir Negeri ini akan diteliti semula supaya ianya memenuhi keperluan sebenar dan hasil yang lebih baik serta memberi manfaat secara langsung kepada pentadbiran negeri Kedah.

MELIHAT DENGAN MATA HATI

Kebanggaan YB SUK lebih kepada Pegawai KCS yang berkhidmat dengan lebih cemerlang, berintegriti,  menghasilkan produktiviti yang tinggi, berdisiplin dan cekap dalam menjalankan tugas. Bagi beliau orang-orang yang memiliki ciri-ciri ini akan lebih mampu melihat sesuatu isu itu dengan lebih rasional dan melihatnya dengan lebih mendalam tidak sekadar tengok dan buat keputusan/ pendirian atau pandangan . Kata beliau kena tengok dengan ' MATA HATI' .. susah juga nak cerita fasal melihat dengan 'MATA HATI'.. tapi saya ada dengar kata ini masa SWCorp buat program kat Pendang pada awal tahun ini...  ni saya  pautkan catatan tersebut :  ..http://semangatjatinewcity.blogspot.my/2015/06/tahniah-taman-sri-merbok-pendang.html

MENJADI CONTOH TERBAIK YG MENJADI IKUTAN : BERINTEGRITI, BERDISIPLIN

Sebagai Pegawai Tadbir Negeri , sepatutnya ianya menjadi 'Role Model' pada rakyat dan kakitangan bawahan.  Tahap integriti perlu tinggi dan telus dalan sebarang urusan pekerjaan harian. YB SUK tidak mahu ada dikalangan pegawai KCS ini tahap integritinya dipertikaikan. Jika rakyat dan kepimpinan atasan hilang kepercayaan kepada pegawai yang tidak berintergriti, sudah tentu ianya sukar melaksanakan tugas dengan sebaik mungkin. Perkara yang lepas sepatutnya menjadi sejarah dan ianya tidak sepatutnya berulang lagi. YB SUK memohon supaya isu integriti ini diberi perhatian yang utama dan laksanakan tanggungjawab dengan sebaik mungkin tanpa ada apa-apa kepentingan diri.



PERTIMBANGAN YANG SAKSAMA

Sebagai Pegawai Tadbir Negeri yang berilmu, sudah tentu sebarang isu dan masalah perlu ditangani dengan sebaik mungkin. Pegawai tidak boleh membuat satu 'conclusion' dengan hanya mendapat maklumat yang mudah dari internet atau media-media atau dari  sesiapa sahaja. Sebagai pegawai, ianya perlu dikaji, diteliti, dinilai dengan teliti sebelum membuat sebarang keputusan. Apa yang berlaku sekarang ini kadang-kadang hanya persepsi sahaja. Persepsi ini kadang-kadang tidak betul pun..  Tapi oleh kerana semua orang membuat tanggapan dan andaian yang serupa, persepsi ini lama-lama dianggap betul. Jadi sewajarnya eloklah pegawai KCS mengelakkan diri dari terbabit sama dalam isu-isu yang kita sendiri tidak tahu hujung pangkalnya.

KERJAYA DALAM KCS - REDHA DENGAN KETENTUAN 

Saya tertarik dengan ucapan YB. SUK berkenaan  kerjaya dalam KCS. Beliau menekankan peluang kerjaya dalam KCS memang cerah dan memang ada ruang-ruang untuk peningkatan kerjaya pegawai KCS, terutamanya peluang kenaikan pangkat. Semua pegawai KCS berpeluang untuk kenaikan pangkat. Namun begitu dalam urusan kenaikan pangkat ini semua Pegawai KCS kena redha dengan ketentuan Allah SWT. Rezeki itu ditangan Allah SWT. Banyak pertimbangan-pertimbangan yang diambil kira oleh pihak yang berkuasa dalam hal ini. Jadi biarkanlah mereka menjalankan tugas mereka dan KCS menjalankan tugas seperti biasa. Urusan rezeki dan kenaikan pangkat hanya Allah SWT yang menentukannya.

BELANJA BERHEMAH 

Menyedari keadaan kewangan kerajaan negeri yang agak terhad, YB SUK mengingatkan semua Pegawai Tadbir Negeri supaya memberi perhatian kepada hal-hal pengurusan kewangan jabatan. Apa yang penting bagi jabatan yang membelanjakan kewangan ianya perlu berhemah dalam berbelanja, tidak membazir dan tidak terlalu mewah dalam menguruskan acara-acara rasmi jabatan. Yang penting hasrat dan matlamat sesuatu program tercapai. Bagi beliau tidak perlu berbelanja dengan begitu mewah untuk sesuatu aktiviti yang diator. Semua Ketua Jabatan dan Pegawai KCS perlu meneliti semula program-program yang dilaksanakan terutama dari segi perbelanjaan yang tidak perlu. Ada banyak ruang-ruang untuk penjimatan yang boleh diamalkan yang selama ini diabaikan. Segala aset kerajaan yang ada perlu digunakan sepenuhnya berbanding asyik menyewa sahaja selama ini seperti penggunaan alat siaraya, khemah, hiasan, kenderaan, pengiklanan  dan seumpamanya. 

Bagi ketua jabatan atau KCS yang berada dijabatan yang mencari hasil, pendekatan kreatif, proaktif serta kesungguhan bekerja perlu ada pada semua anggota. Ini adalah untuk memastikan hasil dapat dikutip semaksima mungkin yang boleh meningkatkan pendapatan kerajaan negeri Kedah..

PUSPANITA

Secara automatik apabila seseorang itu menjadi Pegawai Tadbir Negeri Kedah, maka isteri sepatutnya terlibat dalam PuspanitA. Namun pesanan YB SUK, aktiviti dalam PUSPANITA jangan pula keterlaluan hingga tugas rasmi terpaksa diabaikan. Yang penting bersederhana dalam aktiviti dan aktiviti PUSPANITA tidaklah dipandang lekeh sangat . Jadi beliau mohon supaya semua isteri KCS kena terlibat dalam PUSPANITA termasuk KCS wanita. Banyak aktiviti yang boleh diatorkan. Kejayaan aktiviti PUSPANITA sebenarnya memberi imej yang amat baik juga kepada KCS dan kerajaan negeri. Oleh kerana pegawai memilih jawatan sebagai Pegawai Tadbir Negeri Kedah maka perkara ini tidak boleh lari lagi. Kalau nanti ada KCS menjadi Pegawai Daerah secara automatiknya isteri beliau akan menjadi Pengerusi PUSPANITA Daerah tersebut. Mahu atau tidak mahu maka itulah yang kena dipatuhi. Tidak ada alasan untuk tidak membenarkan isteri terlibat dalam PUSPANITA. Begitu juga dengan majlis-majlis rasmi yang memerlukan isteri KCS menjadi pengawai pengiring dan sebagainya,, maka kenalah pergi dan dan tidak cuba mengelak lari dari tanggungjawab tersebut.  

Ok lah.. rasanya cukup saja setakat itu catatan-catatan saya berkenaan perjumpaan tersebut dengan ulasan dan pandangan saya.. Oh ya..  ada juga dalam sessi soal jawab dibangkitkan dengan penempatan KCS dalam GLC dan juga kenaikan pangkat pegawai ikut merit tidak ikut senioriti.. Saya berpandangan dalam soal kenaikan pangkat ini, tidak berapa nak kisah sangat. Siapa yang layak berilah tempat yang sesuai walaupun terpaksa langkau kawan-kawan yang lebih senior. Saya lihat dikalangan junior saya juga ada beberapa orang sahabat yang berpotensi besar untuk menjawat jawatan-jawatan yang lebih tinggi walaupun terpaksa melepasi rakan yang lebih senior termasuk saya.. Saya rasa dikalangan KCS yang lebih 50 Tahun keatas ni, semuanya sudah berpengalaman lebih 25 tahun dah.. nak cari pengalaman macam mana lagi.. Cumanya pegawai tersebut kenalah tunjukkan dulu kehebatanya  dan kemampuan serta kelebihannya dalam tugas-tugas yang dilaksanakan. Tidak akan ada sesiapa yang akan mempertikaikan pemilihan itu jika yang dipilih adalah terbukti layak, bukan kenaikan pangkat itu disebabkan oleh kenal orang itu ini, baik dengan orang itu ini dan sebagainya. Begitu juga penempatan KCS dalam GLC, itu kerajaan negeri yang buat keputusan. Namun begitu jika ada Pegawai KCS yang memang berkelayakan ilmu dan pengalamannya rasanya tidak ada masalah pihak kerajaan mempertimbangkannya. Sepertimana kata YB SUK, KCS yang berada dan sedang memegang jawatan di GLC kenalah tunjukkan kehebatan mereka menguruskan GLC tersebut dengan cemerlang dan tentunya lebih mencabar bertugas di situ, kerana produktivitinya dilihat atau disukat dalam bentuk ringgit dan sen. 

Ok itu saja celoteh saya..  kalau tersilap kata mohon keampunan.. tak ada  niat untuk menyinggong hati dan perasaan sesiapa, hanya sekadar sedikit sumbangan rekod untuk ingatan saya yang masih banyak kekurangan ini...... Jumpa lagi...

Link tambahan pada yang berminat nak baca fasal KCS ni....





No comments:

Post a Comment